KOTA BHARU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan sudah memulakan kerja-kerja segera bagi menahan runtuhan tebing Sungai Kelantan di belakang kondominium Pelangi Mall, di sini, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr. Hafidzah Mustakim berkata, langkah itu bertujuan mengelakkan hakisan menjadi lebih teruk sekali gus memberikan kesan tidak baik kepada kawasan sekitar.
Beliau berkata, Pengarah JPS Dr. Siti Fairus Zakaria telah memaklumkan berkaitan perkembangan terkini di lokasi runtuhan tebing tersebut.
“Kerja-kerja ini akan dilakukan mengikut tatakelola Pelaksanaan Kerja Darurat. Saya berpuas hati dengan perbincangan ringkas bersama Dr. Fairus tadi dan yakin pihak JPS akan melaksanakan semua tindakan diperlukan bermula hari ini juga.
“Bagaimana kaedah atau cara kerja yang bakal dilaksanakan, sama ada memasang jaring, pelitup tanah atau sebagainya, kita serahkan kepada JPS yang sememangnya mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa mengadakan lawatan ke lokasi runtuhan tebing Sungai Kelantan, di sini semalam.
Sementara itu, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pelangi Mall, Foo Chek Yee menyerahkan petisyen kepada kerajaan negeri menggesa tindakan segera mengatasi masalah tersebut.
Kata beliau, kejadian itu menyebabkan sebahagian penghuni kondominum berkenaan berpindah kebanyakannya ke rumah saudara-mara kerana bimbang keselamatan mereka.
Bagaimanapun, sebahagian penghuni masih kekal di kediaman masing-masing kerana tiada tempat lain untuk menumpang, kata Chek Yee.
“Lega tu lega tetapi kebanyakan penghuni belum benar-benar yakin sehinggalah mereka melihat kerja-kerja segera untuk menahan runtuhan tebing daripada menjadi lebih teruk di laksanakan oleh JPS dengan mata mereka sendiri.
“Masih ramai penghuni yang tertanya-tanya betul atau tidak kerja-kerja itu dilaksanakan atau bila pihak berkenaan akan datang baiki runtuhan tebing sungai itu,” katanya.
Sementara itu, Phua Shai Khim, 60, yang merupakan penghuni merangkap Setiausaha JMB Pelangi Mall mengakui berasa bimbang selagi belum melihat sendiri kerja-kerja pembaikan runtuhan tebing sungai.
“Penghuni lain mungkin boleh pindah ke rumah saudara tetapi saya hanya ada kediaman di kondominium ini untuk berteduh. Kita berharap kerja pembaikan boleh selesai sebelum berlaku banjir gelombang seterusnya,” katanya. – UTUSAN










