PONTIAN: Jika sebelum ini nama Kampung Parit Jerman dekat sini menjadi sebutan semasa skuad bola sepak Jerman memenangi Piala Dunia 2014 sehingga mendapat liputan meluas dalam media massa.
Asal-usul nama Parit Jerman dikatakan bermula apabila terdapat penempatan bangsa Jerman yang mengusahakan ladang pertanian di sini dan mengeluarkan hasil melalui sungai, malah kesan peninggalan sejarah seperti batu-bata dan tangga batu dianggap penduduk tempatan sebagai bukti peninggalan askar Jerman pada Perang Dunia Kedua.
Namun kisah tersebut telah menjadi lipatan sejarah, tetapi kini Kampung Parit Jerman ingin dikenali semula sebagai kawasan pertanian dengan merevolusikan tanaman nanas menjadi tanaman utama.
Projek Tanaman Nanas Berkelompok (PTNB) merupakan kaedah terbaik bagi menarik minat golongan muda untuk terlibat dengan penanaman nanas variety MD2 yang dianggap sebagai sumber ‘kekayaan baru’ selain durian Musang King.
Di bawah teraju utama, Mohammad Anal Talha, 52, selaku penaung projek tersebut, mereka telah berjaya menanam nanas MD2 di kawasan seluas 30 hektar serta berjaya menarik penglibatan 20 anak muda untuk menjayakannya, selain mengoptimumkan penggunaan tanah yang tidak ekonomik dengan tanaman nanas dengan sasaran sebanyak sejuta pokok telah pun terlaksana dan kesannya PTNB berjaya menarik ramai pengunjung ke kampung tersebut.
“Saya telah berjaya membawa masuk pelancong dari Korea Selatan, Jepun, Singapura selain pengunjung tempatan seperti dari Kuala Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan negeri ini.
Bagi fasa pertama ini, ladang kami akan mula mengeluarkan antara 10,000 hingga 25,000 biji nanas sebulan pada tahun depan, manakala proses penuaian dijangka berterusan selama setahun,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pihaknya menyasarkan pendapatan menerusi jualan nanas segar dan anak benih antara RM6 juta hingga RM9 juta menjelang pertengahan tahun depan.
Beliau memberitahu, PTNB mendapatkan sokongan daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dalam bentuk input pertanian dan khidmat nasihat serta mendaftarkan Kampung Parit Jerman sebagai Kampung Angkat.
“Kami juga telah membina mercu tanda nanas bersaiz mega yang menjadi tumpuan pelancong dan orang ramai untuk mengambil gambar ketika melawat ladang nanas,” katanya.
Bagi menjadikannya suatu keunikan, pihaknya telah menjenamakan projek tanaman nanas MD2 di Kampung Parit Jerman serta produk hilirannya dengan jenama ‘Jermanpine’.
Mohammad Anal berkata, sebagai langkah awal ke arah mempelbagaikan produk bagi menarik pelancong tempatan, pihaknya telah membuka gerai buah-buahan dan jus buah nanas Jermanpine yang memberikan peluang kepada pekebun nanas dalam kalangan penduduk tempatan menghantar buah nanas itu ke gerai tersebut.
“Buah yang kecil kami proses dijadikan jus nanas segar, manakala yang bersaiz besar akan dijual kepada pengunjung. Jus nanas Jermanpine ini tidak dicampur sebarang pengawet dan penghasilannya dikendalikan oleh enam orang anak muda tempatan,” katanya sambil memberitahu setiap hari pihaknya memerlukan satu tan metrik nanas MD2.
Beliau mengaku sambutan terhadap jus nanas segar Jermanpine amat tinggi memandangkan kedudukan gerai buah-buahan terletak di jalan utama dari Pekan Nanas ke Tanjung Piai, begitu juga yang datang dari arah Jambatan Sungai Pulai.
Setakat ini PTNB telah menawarkan peluang pekerjaan kepada 60 penduduk tempatan termasuk bagi kerja-kerja pembuatan kuih tat, gerai buah-buahan segar dan terbaru Restoran Jermanpine.
Bagi melengkapkan usaha yang bermula dengan ladang berkelompok, pihaknya telah membuka pusat agro pelancongan yang menempatkan Restoran Jermanpine yang beroperasi mulai 2 petang hingga 10 malam bagi membolehkan pengunjung menikmati pelbagai jenis masakan berasaskan nanas.
Justeru, bagi yang berkunjung ke daerah Pontian, jadikan pusat agro pelancongan ini sebagai destinasi wajib singgah anda. – UTUSAN