Iktibar kehilangan Pulau Batu Puteh

Iktibar kehilangan Pulau Batu Puteh

Dr. Mahathir Mohamad persoal penafian bekas tiga menterinya yang mengatakan mereka tidak terlibat dalam dalam keputusan kerajaan terhadap kes Pulau Batu Puteh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebarang usaha untuk mempertahankan kedaulatan negara ter­­utama membabitkan tuntutan bertindih dan menuntut semula hak Ma­laysia tidak boleh dihadkan kepada beberapa individu tertentu atas alasan kerahsiaan.

Sebaliknya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan isu kedau­latan negara seperti hilang atau kekalnya sesuatu jajahan hendaklah dilaksanakan secara bersepadu de­ngan penglibatan semua kementerian, jabatan dan agensi.

Dalam laporan setebal 217 muka surat yang dinyarahsiakan kepada umum, RCI yang dipengerusikan oleh Tun Md. Raus Sharif membuat 14 syor dari sudut pentadbiran dan undang-undang kepada kerajaan dalam mengendalikan sebarang kes penting khususnya membabitkan kedaulatan negara.

Kehilangan hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh dan pulau sekitarnya hendaklah diambil sebagai suatu pengajaran, menurut Suruhanjaya.

Sehubungan itu RCI mengemukakan 14 syor kepada ke­ra­jaan bagi melihat segala ke­lemahan, ketidaktelitian dan sikap ambil mudah dalam isu-isu melibatkan kedaulatan ne­gara, supaya kes tidak berulang.

Syor itu termasuk memulakan siasatan jenayah ke atas bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad susulan keputusan Kabinet menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ) mengenainya pada 2008.

“Pengajaran juga harus diambil di mana sekeping surat pertanyaan oleh pihak luar serta jawapan yang diberikan secara bersurat boleh pada bila-bila masa digunakan sebagai bukti untuk pihak luar bagi menuntut hak dan kedaulatan ke atas wilayah negara.

“Percakapan yang dikeluarkan secara tidak berhati-hati dan tidak bermaklumat boleh digunakan oleh pihak lawan dan memakan diri sendiri.

“Setiap tindakan dan keputusan mengenai perkara dasar yang melibatkan kedaulatan dan kepentingan negara perlu dibuat dengan berhati-hati dan berpandukan undang-undang,” katanya.

Dalam laporan setebal 217 muka surat yang dinyarahsiakan kepada umum, Suruhanjaya juga mengesyorkan kerajaan tidak menghadkan usaha menuntut semula hak Malaysia kepada beberapa individu tertentu atas alasan kerahsiaan.

Sebaliknya, isu kedaulatan negara seperti hilang atau kekal sesuatu jajahan Malaysia hendaklah dilaksanakan secara bersepadu dengan penglibatan semua kementerian, jabatan dan agensi.

Dalam isu pentadbiran, RCI mengemukakan pandangannya kepada Jemaah Menteri dalam membuat keputusan berhubung perkara yang ada implikasi besar terhadap kedaulatan dan kepentingan negara.

Menurutnya, sebarang keputusan untuk tidak meneruskan Permohonan Semakan dan Permohonan Tafsiran seperti kes berkaitan kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan hendaklah dipertimbangkan dan diputuskan melalui pembentangan Memo­randum Jemaah Menteri bukannya dibincangkan di bawah tajuk ‘Hal-Hal Lain’.

Pada masa sama, RCI juga mengesyorkan penglibatan se­luruh kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan dalam tindakan dan usa­ha mendapatkan semula hak negara seperti kedaulatan Batu Puteh.

“Majlis Keselamatan Nega­ra (MKN) perlu mengambil tanggungjawab penuh untuk menyelaras pendekatan terbaik berhubung isu kedaulatan negara serta menyemak dan memperkemaskan arahan serta prosedur sedia ada supaya dipatuhi bagi menangani isu-isu melibatkan kedaulatan negara.

“Kerajaan negeri hendaklah dilibatkan dan dirunding bersama dalam hal-hal berkaitan kedaulatan sesuatu negeri atau perkara yang boleh menjejaskan kedaulatan wilayahnya seperti yang berlaku dalam kes Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

“Penglibatan itu untuk membolehkan kerajaan negeri memberi sebarang bantuan, panda­ngan dan input yang diperlukan serta menyatakan pendiriannya terhadap sebarang isu berbang­kit,” katanya.

Dalam laporan sama, RCI tu­rut mengesyorkan supaya MKN bertindak selaku agensi peneraju yang bertanggungjawab menyelaras semua tindakan melibatkan isu maritim, persempadanan, keselamatan, kedaulatan dan ruang udara negara.

Di bawah syor membabitkan isu undang-undang, laporan itu menyebut, Malaysia boleh memfailkan semula Permoho­nan Tafsiran baharu pada bila-bila masa yang sesuai.

Bagaimanapun, RCI tidak mencadangkan Malaysia memfailkan semula Permohonan Tafsiran namun tidak dinyatakan alasan untuk tidak berbuat demikian.

Sementara itu, berdasarkan laporan RCI sama, satu siasatan jenayah di bawah Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 418 Kanun Keseksaan boleh dibuat Dr. Mahathir Mohamad susulan tindakannya untuk tidak meneruskan tuntutan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Menurut laporan itu, dalam konteks Seksyen 415(b), kerajaan perlu membuktikan Dr. Mahathir menipu Jemaah Menteri dan dengan sengaja mendorong Kerajaan Malaysia untuk tidak meneruskan permohonan tersebut walaupun keputusan dibuat secara sepihak olehnya tanpa kelulusan Jemaah Menteri.

“Sekiranya Jemaah Menteri dibekalkan dengan kertas kuasa tindakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan pandangan bertulis daripada perunding antarabangsa, Jemaah Menteri berkemungkinan mempunyai pandangan berbeza dalam kedua-dua permohonan tersebut,” katanya.

RCI juga berpendapat siasatan di bawah Seksyen 418 boleh dibuat atas fakta bahawa Dr. Mahathir menipu kerajaan dengan pengetahuan bahawa beliau berpotensi menyebabkan kerugian salah (wrongful loss) kepada Kerajaan Malaysia kerana sebagai Perdana Menteri, beliau mempunyai obligasi untuk melindungi kepentingan negara.

Tambahnya lagi, RCI juga berpendapat bahawa Dr. Mahathir telah menipu Kerajaan Malaysia yang terdiri daripada ahli-ahli Jemaah Menteri dan menyebabkan mereka membuat keputusan untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan tersebut.

“Penipuan yang dilakukan oleh Dr. Mahathir adalah berhubung kait dengan pelaksanaan fungsi-fungsi tanggungjawab beliau yang mana beliau mempunyai obligasi secara undang-undang untuk melindungi kepentingan Malaysia.

“Sebagai Perdana Menteri, beliau adalah bertanggungjawab terhadap negara dan hendaklah pada setiap masa memelihara, melindungi serta mempertahankan kepentingan dan kedaulatannya.

“Dengan membuat keputusan untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan tersebut, Dr. Mahathir telah menyebabkan kerugian salah (wrongful loss) kepada Kerajaan Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, dalam isu tindakan jenayah itu, dua panel RCI iaitu Tan Sri Datuk Zainun Ali dan Datin Prof. Dr. Faridah Jalil berpendapat tindakan-tindakan Dr. Mahathir berhubung keputusan untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan tersebut hanyalah merupakan satu pengabaian tugas dan tidak melanggar mana-mana peruntukan undang-undang.

“Kesimpulan Suruhanjaya mencadangkan agar satu laporan polis dibuat oleh Setiausaha Suruhanjaya bagi membolehkan satu siasatan jenayah dimulakan terhadap Dr. Mahathir atas kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen 415(b) dan Seksyen 418 Kanun Keseksaan,” katanya.

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang letaknya kurang satu kilometer (km) dari pulau itu milik Malaysia.

ICJ juga memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira 4km dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Pada 28 Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu di bawah pimpinan Dr. Mahathir menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ yang menganugerahkan bidang kuasa undang-undang Batu Puteh kepada Singapura.

RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 14 Februari lalu selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Seri Paduka juga memperkenankan pelantikan tujuh ahli RCI termasuk Md. Raus  sebagai pengerusi dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali sebagai timbalan pengerusi.

Lima lagi ahli RCI itu ialah pengamal undang-undang, Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu; bekas Dekan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Prof. Dr. Johan Shamsuddin Sabaruddin; pakar undang-undang Perlembagaan dan undang-undang pentadbiran, Prof. Datin Dr. Faridah Jalil.

Selain itu, Pegawai Kewangan Negeri Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir dan Pengarah Laut Wilayah Selatan, Jabatan Laut Malaysia, Dickson Dollah, manakala Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Zamri Misman sebagai Setiausaha RCI dan BHEUU JPM sebagai urus setia. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×