HEAL 15555 terima lebih 65,000 panggilan bantuan kesihatan mental - Utusan Malaysia

HEAL 15555 terima lebih 65,000 panggilan bantuan kesihatan mental

ANXIETY dalah penyakit mental yang serius dan bukanlah isu yang boleh dibuat gurauan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 65,183 panggilan berkaitan bantuan kesihatan mental diterima Talian Bantuan Krisis Mental (HEAL 15555) sejak ditubuhkan pada 21 Oktober 2022.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 39,801 atau 61 peratus pemanggil telah menerima bantuan sokongan dan emosi manakala 25,382 lagi diberikan bantuan intervensi khusus oleh Pegawai Psikologi Kaunseling.

“Sebanyak 345 kes tingkah laku bunuh diri telah dikendalikan meliputi idea bunuh diri dan cubaan bunuh diri.

“Daripada jumlah itu, 207 kes idea bunuh diri telah diberikan intervensi dan 138 kes cubaan bunuh diri telah dirujuk dan berjaya dibawa ke fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang dimuatnaik di laman sesawang Parlimen Malaysia hari ini.

Jawapan itu diberikan bagi menjawab pertanyaan Datuk Mumtaz Md. Nawi (PN – Tumpat) yang bertanyakan status terkini penubuhan Institut Kesihatan Mental dan bilangan kes diterima menerusi Talian HEAL 15555 sehingga kini.

Mengulas lanjut, Dr. Dzulkefly berkata, setiap kes cubaan bunuh diri yang berjaya diselamatkan melalui Talian HEAL 15555 dan telah discaj daripada hospital, petugas talian iaitu Pegawai Psikologi (Kaunseling) akan melakukan panggilan susulan secara berkala untuk memastikan kelangsungan rawatan dan pemulihan.

Selain itu, beliau berkata, KKM juga turut menyediakan perkhidmatan intervensi dan rawatan kepada semua lapisan masyarakat terutama golongan kanak-kanak dan remaja yang mengalami masalah kesihatan mental.

“Perkhidmatan ini boleh diakses di 1,088 klinik kesihatan, 64 hospital termasuk empat institusi mental dan 34 buah Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) yang turut menyediakan perkhidmatan pengesanan awal, rawatan dan pemulihan kepada masyarakat,” katanya.

Berhubung penubuhan Institut Kesihatan Mental, Dr. Dzulkefly berkata, institusi itu kini dikenali sebagai Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH).

Katanya, NCEMH bertanggungjawab membangunkan polisi dalam merancang, melaksana dan memantau aktiviti promosi kesihatan mental dan pencegahan penyakit mental, latihan, survelan dan intervensi krisis kesihatan mental.

“Sebagai pusat koordinasi bagi program dan perkhidmatan kesihatan mental dengan pelaksanaan perkongsian pintar atau kolaboratif dengan pelbagai pihak, antanya agensi kerajaan dan swasta serta badan bukan kerajaan (NGO).

“Ia juga berperanan menggerakkan tenaga pakar termasuk Pakar Psikiatri, Pegawai Psikologi Kaunseling, ahli-ahli akademik dalam pembangunan modul, garis panduan, pelaksanaan latihan dan penyelidikan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN