Harga kuih baulu Umay kekal sejak 20 tahun lalu

Harga kuih baulu Umay kekal sejak 20 tahun lalu

UMAY Kasom Zakaria menunjukkan kuih baulu dihasilkannya ketika ditemui di Slim River di Tanjung Malim semalam. – UTUSAN/MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Seorang warga emas, Umay Kasom Zakaria, 73, masih berupaya membuat kuih tradisi baulu sejak lebih 50 tahun lalu bagi menyara kehidupan keluarganya.

Umay Kasom berkata, dia tidak dapat melupakan kena­ngan memasak kuih baulu secara tradisional iaitu menggunakan kayu api dan sabut.

“Dahulu hidup susah dan tidak mampu untuk membeli peralatan seperti ketuhar pembakar dan peti sejuk bagi memenuhi permintaan pelanggan terutamanya menjelang pe­rayaan.

“Selain itu, pasarannya tidak meluas seperti sekarang hanya jual di kampung dan kedai makan terdekat,” katanya ketika ditemui di Kampung Balun di sini semalam.

Kesungguhannya mengusahakan kuih tradisional itu membuka mata Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) untuk membekalkan secara one off ketuhar pembakar, peti sejuk dan mesin uli tepung.

“Bantuan ini memudahkan saya menghasilkan kuih baulu dalam kuantiti lebih banyak selain membantu saya membuka bengkel sendiri,” katanya yang berupaya memperoleh RM7,000 sebulan semasa Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Menariknya, harga baulunya tidak berubah sejak 20 tahun yang lalu kerana ‘niatnya’ mahu berkongsi rezeki dan barangkali itulah rahsia perniagaannya kekal hingga kini.

Ujarnya, tiada niat untuk menaikkan harga kerana ingin semua dapat merasainya terutama mereka yang kurang berkemampuan walaupun harga telur dan tepung gandum mahal berbanding dahulu.

“Saya tidak perlu menyewa kedai malah ramai penduduk kampung menjadi ejen memasarkan produk saya. Semua saya buat sendiri, jadi soal kos tidak pernah dalam fikiran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×