Caj RM1 guna ATM: 15 juta pengguna berasa ditindas

Caj RM1 guna ATM: 15 juta pengguna berasa ditindas

GAMBAR Hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan pengguna mempersoalkan caj RM1 yang dikenakan untuk setiap transaksi di mesin pengeluaran automatik (ATM) yang disifatkan ‘untung atas angin’, sehingga syarikat pengendali mendapat untung berjuga-juta ringgit.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohd. Yusrizal Yusoff berkata, caj yang dikenakan tidak memberikan manfaat yang jelas kepada 15 juta pengguna sehingga mereka berasa ditindas.

“Dulu, kita menggunakan mesin ATM dan sistem antara bank tanpa dikenakan caj, tetapi tiada kerugian langsung dicatat oleh bank. Pada masa kini, syarikat ini mengenakan caj yang tidak rasional dan membebankan rakyat terutama golo­ngan berpendapatan rendah.

“Kita yang keluar duit dan mereka yang dapat keuntungan sehingga berjuta-juta. Walaupun caj yang dikenakan hanya RM1 tetapi dengan kos sara hidup yang tinggi ia amat berharga bagi rakyat.

“Apa rasional caj RM1 terhadap pengguna sehingga me­ngaut untung atas angin.Kami beranggapan tidak rasional caj RM1 ini dan ia seperti menindas rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, jika mahu rak­yat melibatkan diri dalam digitalisasi, ia perlu memudahkan mereka, bukan sebaliknya.

“Sekiranya kerajaan dan bank ingin menggalakkan rakyat menggunakan teknologi digital, mereka perlu menyediakan insentif seperti potongan harga atau pengurangan caj, bukannya menambah beban dengan caj tersembunyi yang membebankan golongan marhaen,” ujarnya.

Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) dilaporkan memperoleh hasil sebanyak RM544 juta dan keuntungan RM271 juta daripada fi penge­luaran tunai RM1 di ATM.

Caj itu dilihat tidak munasabah kerana ia lebih menguntungkan syarikat tersebut.

Pada 2023, PayNet meraih untung kasar RM544 juta dan untung bersih RM271 juta dan dilaporkan mengekalkan keuntungan terkumpul dari tahun terdahulu berjumlah RM1.43 bilion serta memiliki aset RM2.1 bilion.

Sehubungan itu, PayNet dan pemegang sahamnya termasuk BNM digesa memansuhkan fi pengeluaran tunai RM1 di ATM yang dilihat membebankan pe­langgan, terutama golongan berpendapatan rendah.

Ini kerana, majoriti pelanggan terkesan dengan fi tersebut adalah daripada kumpulan berpendapatan rendah, termasuk sejumlah besar ahli kesatuan yang sedang bergelut memenuhi keperluan keluarga mereka.

Sementara itu, Setiausaha Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), J Solomon berkata, caj RM1 sudah membawa keuntungan hingga juta-jutaan ringgit kepada pihak bank tetapi menekan golongan B40.

Jelasnya, hanya pemilik akaun bank yang juga merupakan B40 sahaja menggunakan ATM dan golongan kaya pula menggunakan perbankan internet.

“Berjuta orang di Malaysia ini mempunyai akaun bank, daripada jumlah tersebut boleh dianggarkan 80 peratus adalah B40 dan M40. Itu sahaja kita sudah lihat berjuta orang yang menggunakan ATM serta terkesan dengan caj RM1 itu.

“Caj itu hanya menyebabkan orang kaya menjadi lebih kaya tetapi orang miskin terus menjadi miskin. Dalam kos kehidupan yang tinggi sekarang, RM1 pun membawa tekanan kepada mereka,” katanya.

Tambahnya, kerajaan perlu membuat arahan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) dan pihak bank lain bagi menghentikan caj perkhidmatan tersebut.

“Apabila ATM itu diadakan di tempat-tempat yang boleh digunakan oleh pelanggan, sebenarnya pihak bank buat keuntungan daripada situ kerana mereka tidak perlu membayar gaji untuk pekerja dan sebagainya. Ini menyaksikan mereka meraih penjimatan.

“Tetapi mengapa pula pihak bank nak caj orang miskin RM1 lagi? Jika pihak mengatakan mereka perlu menanggung kos. Apa kosnya? Mereka sendiri menggalakkan pengguna menggunakan ATM,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×