Buku angkat sejarah, pencapaian PDRM – KPN

Buku angkat sejarah, pencapaian PDRM – KPN

SULTAN Nazrin Shah berkenan melihat buku sejarah perjuangan dan pengorbanan PDRM dalam mengekalkan keamanan negara selepas pelancarannya, di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir, Razaruddin Husain (kanan). – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelancaran buku ‘PDRM: Sejarah Penubuhan, Pengorbanan dan Kejayaan dalam Mengekalkan Keamanan Negara’ mengangkat sejarah dan pencapaian pasukan keselamatan negara itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, buku tersebut meraikan perjalanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama lebih dua abad sebagai penjaga keamanan negara yang berkhidmat dengan penuh dedikasi tanpa mengenal erti lelah dan mengenepikan kepentingan peribadi.

Katanya, buku tersebut mengangkat cabaran, pengorbanan serta kisah-kisah warga PDRM dalam mempertahankan tanah air.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Buku yang diterbitkan dengan adunan kompilasi bergambar disertakan dengan huraian ringkas pelbagai maklumat mengenai PDRM.

“Inisiatif penghasilan buku ini akan menjadi sumber rujukan menyebarkan informasi berguna serta menginspirasi masyarakat untuk lebih peka dan meningkatkan semangat patriotisme cintakan tanah air,” katanya berucap pada Pelancaran Buku Coffee Table PDRM sempena Program Siri Jelajah Galakan Masyarakat Membaca di Hotel Mandarin Oriental, di sini, semalam.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan melancarkan buku ‘PDRM: Sejarah Penubuhan, Pengorbanan dan Kejayaan dalam Mengekalkan Keamanan Negara’ tulisan Prof. Dr. Mohamad Thariq Hameed Sultan dan Shafie Abdul Rahman.

Pada majlis tersebut, baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Khas Buku Negara kepada tujuh penerima.

Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara, Tan Sri Prof. Dr. Abdul Latiff Abu Bakar.

Sementara itu, Mohamad Thariq berkata, beliau mengambil masa selama setahun untuk menghasilkan buku tersebut dengan mendapat kerjasama dan sokongan daripada PDRM.

“Buku ini percuma dan akan diterbitkan sebanyak 30,000 hingga 40,000 naskhah untuk diagihkan ke sekolah dan universiti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini