PASIR MAS: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mendedahkan sektor pertanian negara mengalami kerugian RM16 juta akibat banjir yang sedang melanda beberapa negeri ketika ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu bagaimanapun berkata, ia melibatkan kerosakan tanaman padi, sayuran dan perikanan.
Menurutnya, jumlah itu dijangka meningkat apabila bancian akhir dibuat selepas mendapat maklumat lengkap daripada semua agensi di bawah KPKM.
“Semua agensi dibawah KPKM akan mendapatkan maklumat sebaik mungkin dan selepas itu pelbagai bentuk bantuan akan diusahakan mengikut kadar sedia ada.
“Daripada situ, kita boleh ditambah peruntukan baharu, kita akan cuba bantu memulihkan mereka yang terjejas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mendengar laporan awal banjir daripada Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Jabatan Pertanian Negeri Kelantan di Pejabat KADA Pasir Mas, di sini hari ini.
Mohamad Sabu memberitahu, banjir kali ini menyaksikan industri padi paling banyak terjejas.
Katanya, situasi itu meninggalkan kesan besar kepada KADA apabila pengeluaran hasilnya sekali lagi terjejas selepas melalui kemarau panjang untuk dua musim penanaman sebelum ini.
“Mengikut laporan awal, seluas 1,609 hektar sawah padi terjejas dalam bencana banjir kali ini melibatkan enam kawasan penanaman KADA, iaitu Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tumpat, Kota Bharu Utara da Kota Bharu Selatan,” ujarnya.-UTUSAN