MELAKA: Seorang badut penjual belon didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan bawah umur, bulan lalu.
Tertuduh berusia 38 tahun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azaraorni Abd. Rahman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol remaja perempuan berusia 14 tahun itu tanpa kerelaan mangsa di sebuah rumah di Kampung Tehel dalam daerah Jasin kira-kira pukul 6 pagi, 25 November lalu.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan dikenakan sebat mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan.
Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja tersebut di lokasi, masa dan tarikh sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ali Hussain tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan dilakukan adalah serius tetapi mencadangkan jumlah RM10,000 dengan dua penjamin sekiranya mahkamah mahu menggunakan budi bicara.
Beliau turut mencadangkan tertuduh dikenakan syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa dan saksi serta melapor diri sebulan sekali kepada pegawai penyiasat.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dengan alasan hanya bekerja sebagai pengutip besi dan badut penjual belon.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 14 Januari depan untuk sebutan semula kes dan melantik peguam. – UTUSAN










