KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan membawakan usul mengembalikan semula nama asal Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tun Omar Ong Yoke Lin yang diluluskan namun ditukarkan kepada SJKC Gamuda Cove.
Beliau berkata, perkara itu akan dibangkitkannya di dalam Kabinet selepas nama sekolah tersebut ditukar baru-baru ini.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid menegaskan bahawa perkara itu tidak membabitkan soal perkauman.
“Saya amat bersetuju dengan apa dilontarkan Datuk Seri Dr. Ir. Wee Ka Siong, kerana pandangan beliau adalah pandangan daripada MCA yang minta SJKC Tun Omar Ong Yoke Lin untuk dikembalikan.
“Ini soal, di mana ketika itu nama berkenaan sudah dipersetujui,” katanya pada sambutan Ulang Tahun BN ke-50 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Terdahulu, Ka Siong berkata, nama pengasas MCA, Tun Omar diluluskan oleh bekas Menteri Pendidikan, Mahdzir Khalid pada 26 Oktober 2017 bagi nama asal sekolah berkenaan namun ia digugurkan ketika majlis pecah tanah untuk pembinaan SJKC Gamuda Cove pada 4 Disember lalu.
Melahirkan kekecewaan terhadap perkara itu, Ka Siong dalam ucapannya berkata, Tun Omar adalah pengasas MCA dan tokoh yang memperjuangkan kemerdekaan.
Presiden MCA itu berkata, Tun Omar juga adalah menteri dalam Kabinet Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman yang memeluk Islam pada 1961.
“Tak layakkah Tun Omar Ong Yoke Lin diberi pengiktirafan oleh negara? Keputusan ini sudah pun dimaklumkan kepada balunya, iaitu Toh Puan Aishah Ong, tujuh tahun lalu.
“Media juga melaporkan keputusan Kementerian Pendidikan tersebut pada 2017. Di mana keadilan sejagat buat pemimpin BN Tun Ong Yoke Lin?,” katanya.