Adendum: Tidak wujud atau tidak ikut proses?

Adendum: Tidak wujud atau tidak ikut proses?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenyataan Ja­batan Peguam Negara (AGC) berhubung titah adendum bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terus mencetuskan kekeliruan dan menimbulkan pelbagai persoalan mengenai fakta serta proses yang sepatutnya dijelaskan dengan lebih teliti dan terperinci.

Penganalisis politik, Profesor Dr. Azmi Hassan berkata, AGC perlu mengeluarkan ke­nyataan yang lebih jelas me­ngenai titah adendum tersebut sama ada ia wujud atau tidak.

Kata beliau, jika titah tersebut wujud, adakah ia tidak melalui proses yang betul dan perkara itu kemungkinan tidak berlaku kerana Yang di-Pertuan Agong yang juga Pengerusi Lembaga Pengampunan mempunyai penasihat yang bertanggungjawab.

“Persoalannya, mengapa ke­nyataan tersebut tidak terus menyatakan dengan jelas bahawa tiada permohonan yang dibuat? Jika memang tidak ada permohonan, maka isu ini sepatutnya selesai.

“Sebaliknya, jika ada permohonan dibuat tetapi tidak melalui proses yang betul, maka itu juga perlu dijelaskan. Inilah yang menimbulkan rasa pelik dan kekeliruan.

“Saya berpandangan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh AGC ini bukan sahaja gagal menyelesaikan persoalan, malah menambah kekusutan dalam isu ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, semua permohonan pengampunan termasuk kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Jabatan Peguam Negara ber­kata, semua urusan ber­kaitan perlu dibuat mengikut tatacara dan saluran yang sudah ditetapkan di bawah undang-undang dan bukannya mana-mana saluran lain.

“Kamar ini telah dititahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memaklumkan bahawa semua permohonan mengenai pe­ngampunan bagi kesalahan­ yang dilakukan di dalam Wi­layah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya hendaklah dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan.

“Oleh itu, sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan termasuk Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menghabiskan baki tempoh hukumannya dengan ditahan di rumahnya, permohonan berkenaan perkara tersebut hendaklah dikemukakan.

“Permohonan itu akan di­pertimbangkan oleh Lemba­ga Pengampunan yang dipe­ngerusikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengikut tatacara dan saluran yang telah ditetapkan di bawah undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.

Dalam pada itu, Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, beliau bimbang bahawa AGC telah campur tangan dalam urusan yang sedang dibicarakan di mahkamah pada 6 Januari nanti.

Menurut beliau, pada tarikh tersebut, mahkamah akan menentukan sama ada titah adendum itu wujud atau tidak, dan jika wujud, sah atau tidak.

“Kenapa perlu ada kenya­taan media seminggu sebelum perbicaraan? Ini memberi risiko besar kerana AGC mungkin mendedahkan diri mereka kepada tindakan penghinaan mahkamah.

“AGC harus menghormati pro­ses mahkamah kerana me­reka terlibat secara langsung dalam kes titah adendum. Oleh itu, mereka tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan me­ngenai isu yang sedang dibi­carakan di mahkamah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×