KEMAMAN: Kira-kira 2,000 penduduk di perumahan Taman Rakyat Teluk Kalong, di sini merayu supaya masalah perparitan dan saliran diselesaikan, yang dipercayai menjadi antara punca utama banjir buruk berlaku di kawasan itu.
Tinjauan di perumahan yang mempunyai kira-kira 500 buah rumah itu mendapati, banjir disifatkan luar biasa oleh penduduk menyebabkan mereka kerugian ratusan ribu ringgit selepas banyak barangan termasuk sofa, tilam, perabot dan peralatan elektrik terpaksa dibuang selepas ditenggelami air, Sabtu minggu lalu.
Penduduk, Rozilawati Mohamad, 40, berkata, difahamkan projek pembinaan pembetung dan jambatan untuk mengatasi masalah banjir di kawasan itu siap dibina, namun banjir masih berlaku.
“Tahun ini, sudah dua kali banjir sejak November lalu. Hujan lebat tak sampai tiga jam pun, rumah kami banjir. Mungkin sistem saliran tidak sempurna menyebabkan banjir sebab kediaman kami bukannya berhampiran sungai,” katanya semalam.
Penduduk, Zainuri Ismail, 42, berharap pihak yang bertanggungjawab dapat menyelenggara sistem saliran di kawasan tersebut.
“Kalau lihat sekarang ini banjir bertambah buruk. Sebelum ini, hanya kawasan perumahan yang banjir, namun baru-baru ini banjir hampir dua meter di kawasan penduduk dan melimpah ke beberapa buah kilang di kawasan perindustrian Teluk Kalong.
“Kami tidak tahan berdepan dengan musibah banjir ini. Dua tahun lepas, kami banyak kerugian, kali ini sekali lagi kami kerugian besar,” katanya.
Buat masa ini dia dan keluarganya termasuk tujuh anaknya terpaksa tidur beralaskan toto dan tikar berikutan semua perabot dan tilam rosak ditenggelami banjir.
Mohd. Zahari Yusoff, 41, pula, terkilan berikutan beberapa perabot termasuk almari pakaian keluarganya yang baru dibeli, terpaksa dibuang kerana rosak akibat banjir.
“Selepas diuji banjir dua tahun lalu, saya baru sahaja dapat mengumpul duit dan beli perabot baharu. Namun, belum sampai dua bulan sekali lagi rumah dilanda banjir.
“Buat masa ini biarlah rumah kami kosong dahulu tanpa perabot. Bukan tak nak beli, namun bimbang kalau banjir lagi sekali,” katanya. – UTUSAN










