3,000 ayam dijual RM5 seekor ‘licin’ dalam masa sejam

3,000 ayam dijual RM5 seekor ‘licin’ dalam masa sejam

MOHD. Syahbuddin Hashim (kiri) menjual ayam kepada penduduk di pekarangan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas di Bandar Utama, Gua Musang, Kelantan. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Sebanyak 3,000 ekor ayam berharga RM5 seekor dijual kepada penduduk di sini sebagai persediaan menghadapi musim baharu gelombang banjir.

Program Jualan Musim Bah yang berlangsung di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas di Bandar Utama di sini itu membantu 2,000 pengunjung membuat persiapan menyimpan bekalan makanan kerana diramalkan banjir gelombang terbaharu bermula minggu depan.

Selain ayam, sebanyak tujuh tan metrik ikan pelbagai jenis, 700 papan telur dan 1, 700 kilogram minyak masak turut disediakan dengan harga lebih murah daripada pasaran semasa.

ADUN Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berharap program jualan itu dapat membantu masyarakat mendapatkan barangan makanan murah ketika musim tengkujuh.

Katanya, kebanyakan barangan habis dijual dalam tempoh masa sejam.

Seorang penduduk Orang Asli dari Pos Hendrop, Ramlah Harun, 44, berkata, dia bersama suami dan anak sanggup menempuh perjalanan lebih 70 kilometer bagi membeli barangan keperluan dapur dengan harga murah.

Katanya, kebanyakan penduduk yang bekerja sebagai penoreh getah akan terputus sumber pendapatan sepanjang musim tengkujuh.

“Harga barangan yang ditawarkan sangat murah apabila ayam dijual RM5 seekor dan ikan kerisi 30 sen seekor.

“Selaku penduduk di kawasan pedalaman, kami berharap program seperti ini dapat dilakukan lebih kerap bagi meringankan kos sara hidup,” katanya.

Seorang lagi penduduk R. Nithiakalyanee, 36, berkata, Jualan Musim Bah memberi kesan positif dalam meringankan kos sara hidup rakyat golongan B40 ketika musim tengkujuh.

Dia berharap lebih banyak jualan murah dapat dilakukan bagi meringankan kos sara hidup rakyat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN