MELAKA: Seramai 300 penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyertai Misi Skuad Ihsan Madani yang ditugaskan membantu mangsa banjir di Pantai Timur.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pasukan itu telah digerakkan ke Kelantan khususnya untuk membantu kerja-kerja pembersihan, selain penghantaran bantuan makanan dan bantuan lain yang bersesuaian.
Ujarnya, pihaknya menghantar semua penguat kuasa yang baharu tamat latihan sebagai tanda menyokong usaha kerajaan menggerakkan penjawat awam ke kawasan terkesan teruk.
“Seramai 238 penguat kuasa yang baharu tamat latihan di Kem Pertama, Alor Gajah baru-baru ini telah digerakkan ke Kelantan malam tadi dan ditugaskan untuk membantu mangsa banjir sehingga selesai Monsun Timur Laut (MTL).
“Sekiranya ada keperluan untuk menjadi sukarelawan dan juga gotong-royong sudah tentu mereka akan melaksanakan tugas tersebut termasuk penyerahan bantuan Bakul Rahmah.
“Kita akan buat penjadualan di semua tempat yang terjejas dan akan diselaraskan oleh Pejabat Setiausaha Negara mengikut keperluan jawatankuasa bencana negeri dan daerah serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Jelajah Karnival KPDN 2024 Peringkat Zon Selatan di Dataran Sejarah Ayer Keroh di sini, malam tadi.
Tambah Armizan, Melaka menjadi negeri terakhir penganjuran bagi zon selatan selepas Perlis, Kelantan, Perak, Sarawak dan Sabah.
Menurutnya, objektif utama penganjurannya adalah untuk merakyatkan perkhidmatan kerajaan khususnya yang dikawal selia KPDN bagi mendapatkan maklum balas masyarakat. – UTUSAN