KEMAMAN: Seorang warga emas terharu dengan keprihatinan pasukan penyelamat membawa cucunya yang terlantar keluar dari kediaman mereka di Perumahan Taman Rakyat Teluk Kalong di sini, yang terjejas banjir, semalam.
Habibah talib, 71, berkata, cucunya, Ahmad Irfan Mohd. Johar, 20, hanya mampu terlantar sejak hujung Julai lalu selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Teluk Kalong ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya.
“Biasanya kami minta bantuan pasukan penyelamat untuk bawa cucu ke hospital untuk menerima rawatan sebab dia langsung tidak boleh bangun dan terpaksa diusung menggunakan katil.
“Kali ini, kami belum sempat panggil pasukan penyelamat, namun mereka datang ke rumah untuk pindahkan Ahmad Irfan lebih awal selepas kawasan rumah dinaiki air,” katanya yang mengalirkan air mata.
Habibah berkata, dia dan keluarganya berterima kasih atas keprihatinan pasukan penyelamat yang mengutamakan nyawa cucunya dan penduduk yang memerlukan bantuan.
“Kami terkejut bila lori Angkatan Pertahanan Awam (APM) tiba-tiba sampai di hadapan rumah untuk bawa keluar cucu saya namun amat bersyukur,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Sementara itu, seorang pesakit angin ahmar, Aniza Yunus, 55, menarik nafas lega apabila pasukan penyelamat tiba di kediamannya untuk membawanya keluar ke pusat pemindahan sementara (PPS) Darul Iman Training Centre selepas kediamannya dinaiki air.
“Ketika air naik, saya panik sebab hanya seorang di rumah. Saya telefon anak lelaki supaya segera pulang kerana saya tidak mampu berbuat apa-apa sebab separuh badan saya lumpuh.
“Selepas anak pulang, dia menghubungi pasukan penyelamat untuk membantu mengusung saya sebab dia hanya berseorangan dan air naik begitu cepat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, pelbagai agensi pasukan penyelamat termasuk Polis, Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu mengeluarkan mangsa dan beberapa pesakit lain lebih awal demi keselamatan.











