Tiga langkah atasi isu keselamatan sempadan

CCTV dan dron tingkatkan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand

SAIFUDDIN NASUTION
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi meningkatkan keselamatan dan menangani sebarang ancaman pencerobohan di sempadan Malaysia-Thailand di utara Semenanjung.

Pihak berkuasa juga akan menggunakan dron dan pengwujudan pusat kawalan bagi mengumpulkan data secara tepat mengenai sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tiga langkah akan dilaksanakan kerajaan bagi memastikan sempadan Malaysia-Thailand sentiasa dilindungi daripada sebarang ancaman.

“Dalam konteks pengawasan sempadan, perlunya kita menggunakan pendekatan teknologi dan inovasi semasa.

“Justeru tiga pendekatan ini akan digunakan dan setakat ini untuk pemasangan CCTV, kita sedang jalankan proof of concept (pembuktian konsep) dahulu sebelum ia dapat digunakan, “katanya ketika ditemui pada Majlis Gema Bahasa dan Sastera di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia kelmarin berhubung pagar keselamatan di sempadan Malaysia -Thailand yang berlubang dan rosak.

Keadaan pagar keselamatan itu dikhuatiri mengancam keselamatan dan kedaulatan negara kerana penjenayah dengan mudah dapat memasuki negara ini. Penyeludupan juga dipercayai berleluasa berikutan keadaan pagar sempadan yang usang.

Masalah itu membabitkan laluan tertentu di sepanjang 98.2 kilometer (km) sempadan Perlis terutama dari Chu ping, Padang Besar sehingga Pos Bukit Batu Putih, Kuala Perlis.

Saifuddin Nasution berkata penggunaan CCTV, dron dan pusat kawalan berpusat juga akan mengurangkan kos penyelenggaraan (kawalan keselamatan di sempadan) yang membabitkan kos tinggi.

“Apabila memperkatakan isu keselamatan sempadan, pendekatan dahulu ialah menaikkan pagar. Dan di utara tanah air, ia sudah pun dinaikkan dan dibuat dua lapis.

“Namun, apabila ia dibuat sudah semestinya menelan kos tinggi. Jadi dalam soal keselamatan ini, penting bagi kita menerokai inovasi baharu,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata, beliau akan ke kawasan sempadan bagi meninjau lebih dekat berhubung keadaan pada hujung bulan ini.

Mengulas sempadan dengan Thailand di Kelantan, beliau berharap kerajaan negeri dapat bekerjasama dalam usaha mengekang penyeludupan dan isu di pintu sempadan.

“Kerjasama kerajaan negeri penting agar kawasan tanah simpanan di sepanjang sungai tidak diluluskan untuk didirikan rumah. Ini kerana, agak sukar untuk agensi penguat kuasa menjalankan pengawasan. Perlu ada kawasan penampan yang munasabah agar kawalan dan pengawasan dapat dibuat,” katanya.

Mengenai isu pelarian Rohingya, beliau berkata, kerajaan akan meneliti kesahihan maklumat kononnya 100,000 etnik berkenaan dijangka memasuki negara ini secara haram.

“Perkara ini berkaitan fungsi dan keselamatan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan percaya kalau melibatkan jumlah besar, ia semestinya satu situasi di mana pihak bertanggungjawab akan bertindak. Saya fikir, buat masa ini, kita bersandarkan pada ketetapan maklumat agensi perisikan kita,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, menggesa kerajaan meratifikasikan Konvensyen Pelarian 1951 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dalam usaha menangani krisis pelarian khususnya etnik Rohingya.

Presidennya, Sophian Mohd. Zain berkata, kerajaan perlu segera berunding dengan UNHCR untuk mencari jalan penyelesaian jangka panjang bagi menangani isu itu.

Katanya, Malaysia tidak menandatangani konvensyen itu atau Protokol 1967, sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di Malaysia.

“Malaysia sebenarnya tidak mempunyai tanggungjawab un­dang-undang untuk menerima dan menjaga pelarian tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×