Saya hanya fikirkan isteri dan anak – Mohamad Mazriel

Saya hanya fikirkan isteri dan anak – Mohamad Mazriel

MOHAMAD Mazriel Naim Mazlan bersama isteri, Nurul Ain Nadhirah Zolzairi dan bayi mereka berusia dua bulan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Tok Machang di Raub, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: “Sebaik menyedari air banjir mula memasuki rumah sewa, saya terus membawa isteri dan anak berusia dua bulan menaiki kereta ke rumah emak yang terletak tidak jauh dari sini.”

Demikian kata bapa muda, Mohamad Mazriel Naim Mazlan, 21, ketika menceritakan detik cemas berhadapan banjir yang berlaku di Kampung Tok Machang di sini, awal pagi semalam.

Menurutnya, air naik terlalu cepat ekoran hujan lebat berte­rusan bermula sekitar pukul 1.30 pagi menyebabkan dia ha­nya mampu mengambil bara­ngan penting termasuk dokumen anak.

“Masa itu saya hanya fikirkan nyawa anak dan isteri yang baharu habis pantang. Jadi hanya barangan penting sempat saya capai sebelum kami bergegas keluar dari rumah menuju ke rumah emak. Kemudian kami diminta mendaftar ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Selain hujan lebat, belakang rumah kami juga ada anak su­ngai, jadi ia menjadi faktor penyebab air naik terlalu cepat dan memasuki kediaman yang kami sewa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Seorang lagi mangsa, Rokiah Kadir, 52, berkata, dia bersama suami dan anak baharu bercadang mengemas rumah untuk berpindah ke kediaman yang baharu siap dibina.

“Sebelum ini makcik sekeluarga tinggal di rumah pusaka, tapi lepas suami pencen dia ada bina sebuah rumah baharu di kawasan yang tinggi di belakang rumah pusaka.

“Namun belum sempat kami mengemas, banjir pula melanda kampung menyebabkan banyak barangan rosak dan tidak sempat diselamatkan,” ujarnya.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Ben­cana Daerah Raub berkata, seramai 121 mangsa daripada 34 ke­luarga di Kampung Tok Machang dan Kampung Ulu Gali di sini dipindahkan ke dua PPS.

Tambah sekretariat itu, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pukul 3.45 pagi yang memaklumkan berlaku kejadian banjir di dua kampung terbabit.

Jumaat lalu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip dilaporkan berkata, Monsun Timur Laut (MTL) atau lebih dikenali sebagai musim tengkujuh dijangka bermula 5 November sehingga Mac depan.

Dr. Mohd. Hisham berkata, dari November hingga Disember ini, hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah manakala dari Januari hingga Februari depan di Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

Menurutnya, sekiranya luruan monsun yang berlaku adalah kuat dan wujud cuaca tekanan rendah, hujan lebat berterusan boleh berlaku di negeri-negeri lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN