Putrajaya, Seoul semarak Dasar Pandang Ke Timur 2.0

Putrajaya, Seoul semarak Dasar Pandang Ke Timur 2.0

ANWAR Ibrahim memulakan lawatan rasmi ke Korea Selatan dengan mengadakan kunjungan hormat ke atas Yoon Suk Yeol di Pejabat Presiden di Yongsan, Seoul, semalam. - PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dan Korea Selatan bersetuju memperkasakan empat bidang termasuk kerjasama ekonomi yang merangkumi usaha menyema­rakkan Dasar Pandang Ke Timur 2.0.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dirintis hasil pertemuan dua hala antara beliau dan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol di Pejabat Presiden di Yongsan, Seoul.

Katanya, kedua-dua pihak bersetuju mengeratkan hubu­ngan dalam empat lapangan iaitu kerjasama politik dan keselamatan serta kerjasama ekonomi merangkumi aspek pelaburan dan perdagangan, menyemarak Dasar Pandang Ke Timur 2.0, di­gital dan teknologi maklumat, infrastruktur, kesihatan dan sains perubatan serta alam sekitar dan tenaga dan pertanian.

“Selain itu, kerjasama budaya, pendidikan dan pelanco­ngan di mana kedua-dua negara bersetuju untuk mempertingkat kerjasama sektor awam dan swasta serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Kerjasama serantau dan di peringkat global di mana kedua-dua negara mengecam keras tindakan Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) yang telah melancarkan peluru berpandu balistik pada 31 Oktober lalu, selain menegaskan beberapa isu serantau dan global lain,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pertemuan Anwar dan Suk Yeol disusuli pertukaran memorandum prsefahaman (MoU) membabitkan tiga bidang iaitu Kerjasama dalam Pendekatan Kerjasama di bawah Artikel 6, Perenggan 2 Perjanjian Paris; Kerjasama dalam Sektor Peme­rangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS); dan Kerjasama dalam Sektor Pendidikan Tinggi.

Menurut Anwar, kunjungan itu amat penting untuk kedua-dua negara yang akan menyambut hubungan jubli nilam pada 2025 selain terus mencari ruang dan lapangan bagi merapatkan kerjasama erat.

Menurutnya, Korea Selatan bakal mempengerusikan Asia Pasifik (APAC) dan Malaysia pula akan mempengerusikan ASEAN pada tahun hadapan.

“Presiden Yoon dan saya lantas berikrar untuk bekerja de­ngan lebih dekat dan sederap bagi melonjak kepentingan dan nilai yang dikongsi secara bersama,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia dan Korea Selatan akan terus bekerjasama dalam pelbagai lapangan berkepentingan selain mendepani cabaran yang mengesankan rantau dan dunia.

Selain pertemuan dua hala bersama Suk Yeol, Awar yang kini dalam lawatan rasmi dijadual mengadakan pertemuan dengan tokoh korporat Korea Selatan dan menyampaikan ucapan dalam forum perniagaan yang dihadiri lebih 180 syarikat di negara berkenaan.

Lawatan rasmi diakhiri de­ngan majlis ramah mesra bersama diaspora Malaysia di Korea Selatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN