JERANTUT: Penduduk Kampung Pagi, Ulu Tembeling menyediakan tong plastik untuk mengapungkan rumah sebagai persediaan bencana banjir dan musim tengkujuh yang melanda kini.
Penduduk, Abd. Razak Yatim, 65, berkata, kaedah berkenaan antara alternatif digunakan untuk mengapungkan rumah atau dijadikan tempat menyimpan barang sewaktu banjir melanda.
“Saya membelanjakan kira-kira RM2,000 membeli tong plastik. Perkampungan Melayu di pesisir Sungai Tembeling, mukim Ulu Tembeling daerah ini, sering berdepan bencana banjir yang memaksa penduduk berpindah ke tempat lebih tinggi.
“Penggunaan tong sebagai pelampung ini bermula sejak awal 80-an lagi. Namun, waktu itu ia digunakan penternak untuk mengapungkan sangkar ikan. Kini penggunaannya dipelbagaikan apabila dipasang di bawah lantai rumah bagi mengelak banjir,” katanya kepada Utusan Malaysia ditemui di Kampung Pagi dekat sini, semalam.
Sebelum penggunaan tong plastik, penduduk di pesisir Sungai Tembeling membina rakit buluh bagi menempatkan barang-barang penting dan juga dijadikan tempat tinggal sementara sebagai rumah rakit.
Kata Abd. Razak jumlah tong plastik yang dipasang di bawah lantai rumah bergantung kepada keluasan kediaman.
“Lebih besar rumah, lebih banyak jumlah tong diperlukan. Malah ada yang mengeluarkan belanja antara RM5,000 hingga RM10,000 bagi memasang tong, atau menggantikan tong plastik lama dan membaikpulih rumah sebelum musim banjir melanda,” katanya.
Seorang penduduk Kampung Pengau, Razali Malek, 63, berkata, dia memasang 26 buah tong sebagai pelampung yang dibeli pada harga RM55 sebuah, menggantikan peralatan lama bagi mengelak kediamannya tenggelam ketika banjir.
“Ketika membina rumah ini tiga tahun lalu, saya sudahpun menyediakan tong plastik yang bertindak sebagai pelampung dipasang di bawah lantai rumah.
“Hampir RM3,000 saya keluarkan untuk kos bahan binaan rumah dan tong plastik dalam usaha menjaga keselamatan harta benda dan keluarga ketika berdepan bencana banjir,” katanya. – UTUSAN










