Pelajar UPNM tak mengaku tekap rakan dengan seterika panas

Pelajar UPNM tak mengaku tekap rakan dengan seterika panas

PEGAWAI kadet Akademi Latihan Ketenteraan UPNM dituduh mencederakan seorang penuntut dengan seterika panas, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang penuntut, bulan lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh, Amirul Iskandar Ahmad, 22, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Salman Mohd. Saiful Surash, 20, dengan menggunakan seterika wap panas di sebuah dorm ALK UPNM Sungai Besi pada pukul 11.45 malam, 22 Oktober lalu.

Kadet itu didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Sabri Othman mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin, mengambil kira jenis kesalahan dan keseriusan kes.

“Di dalam kes ini, dada kanan mangsa mengalami kesan lecuran tahap dua. Kes ini juga merupakan kepentingan awam yang akan menjadi panduan kepada masyarakat yang membuli pelajar lain bahawa mereka bukan sahaja boleh dikenakan hukuman yang berat tetapi juga boleh dikenakan ikat jamin yang tinggi.

“Saya juga memohon pe­rintah menghalang tertuduh supaya tidak mendekati saksi-saksi,” kata Mohd. Sabri.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu memohon jumlah ikat jamin yang rendah dengan alasan dia masih lagi seorang pelajar.

“Saya mohon mahkamah memberikan jaminan dengan kadar minimum kerana emak dan ayah saya merupakan pesara kerajaan dan saya masih lagi pelajar. Saya berjanji setiap perbicaraan saya akan hadir,” kata tertuduh.

Hakim Elgusra Ali membenarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan dua orang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak menganggu saksi-saksi pendakwaan.

Mahkamah juga menetapkan 27 Disember ini bagi sebutan semula kes.

Pada 2 November lalu, media melaporkan mangsa berusia 20 tahun ditekap seterika pada bahagian dada selepas diminta menggosok baju kerja milik se­niornya dalam kejadian di bilik asrama universiti berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilapor berkata, laporan berkaitan kejadian berkenaan dibuat mangsa pada pukul 8.23 malam, Jumaat lalu.

Rakaman percakapan pengadu diambil di Ibu pejabat Polis Da­erah Cheras dan pengadu juga diminta membuat rawatan di hospital bagi mengesahkan jenis kecederaannya.

Sebelum ini, Angkatan Tentera (ATM) menjalankan siasatan berkait kes seorang pegawai kadet di ALK, UPNM Sungai Besi yang disyaki dibuli dan didera oleh seorang penuntut senior.

ATM turut menyatakan tindakan disiplin yang keras mahu pun tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak yang terbabit, jika terbukti bersalah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN