PDRM perlu 15,707 anggota tambahan

PDRM perlu 15,707 anggota tambahan

KHAW KOK CHIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan 15,707 kekuatan pegawai dan anggota di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dalam usaha memastikan aktiviti penyeludupan dan penyalahguanaan dadah di Malaysia dapat dibanteras sepenuhnya.

Pengarah JSJN, Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, kapasiti yang besar diperlukan berdasarkan jumlah evolusi dadah saban tahun yang dilihat semakin berkembang.

Beliau berkata, dalam tempoh 20 tahun, jumlah kekuatan berkenaan diperlukan merangkumi pelbagai aspek penugasan di lapangan, teknikal, taktikal, penyelidikan dan pembangunan serta untuk menempatkan pegawai perhubungan narkotik di luar negara.

“Setakat ini, kekuatan JSJN memang tidak mencukupi untuk membanteras dadah secara menyeluruh. Kita (JSJN) memerlukan peningkatan besar dalam jumlah keanggotaannya serta sokongan dari segi teknologi, kepakaran dan kerjasama antara agensi.

“Kertas kerja sudah diangkat JSJN kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada peringkat pertama untuk memohon pertambahan 1,000 perjawatan.

“Namun begitu, kita memahami kekangan kewangan kerajaan dan berharap kerajaan dapat mempertimbangkan permohonan penambahan perjawatan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penambahan itu penting untuk keseimbangan bagi menghadapi penugasan yang semakin kompleks.

Dalam masa sama, kata beliau, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berhasrat untuk menjadikan Maktab PDRM Kuala Lumpur sebagai Hub Narkotik Antarabangsa bagi mencari resolusi dan mengenal pasti trend terkini ancaman dadah.

“Pelaksanaan hub ini juga memerlukan sejumlah kekuatan tenaga kerja bagi konteks melancarkan perkongsian maklumat meliputi wilayah di seluruh dunia,” jelasnya.

Ditanya cabaran yang dihadapi JSJN susulan peningkatan penagihan dadah tegar di Malaysia, Kok Chin berkata, ia adalah disebabkan kewujudan sindiket antarabangsa yang beroperasi di negara jiran.

Menurutnya, sindiket dadah ini mempunyai rangkaian yang luas dan berupaya mengedar dadah melalui pelbagai cara, termasuk penyeludupan lintas sempadan yang sukar dikesan.

“Sempadan yang sukar dikawal selain kedudukan Malaysia yang strategik serta sempadan yang panjang serta terbuka, terutama di kawasan perairan, menjadikan negara ini terdedah kepada aktiviti penyeludupan.

“Pemantauan keseluruhan sempadan ini memerlukan teknologi dan tenaga yang besar, sesuatu yang menjadi kekangan bagi PDRM,” ujarnya.

Beliau memberitahu, kekurangan sumber manusia serta keperluan logistik yang terhad juga menjadi cabaran buat JSJN.

“Keperluan ini penting bagi memastikan kejayaan dalam setiap operasi narkotik. Oleh itu, kita memerlukan jumlah tenaga kerja yang ramai serta peralatan berteknologi tinggi.

“Kesemua cabaran ini memerlukan pendekatan menyeluruh yang melibatkan kerjasama antara agensi kerajaan, masyarakat serta negara jiran bagi mengukuhkan usaha membanteras penyalahgunaan dadah di Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kok Chin menjelaskan, kemunculan pelbagai dadah sintetik baharu yang sukar dikesan dan tidak tersenarai dalam jadual menyebabkan Malaysia terus terancam.

Lebih menyukarkan apabila pihak berkuasa negara ini tidak mendapat kerjasama dari negara-negara pengeluar dadah yang terletak di Golden Triangle, Golden Crescent, dan Amerika Latin.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan pengedaran dadah di peringkat antarabangsa tidak dapat dikawal sehingga menjejaskan negara bukan pengeluar dadah seperti Malaysia.

“Sindiket penyeludupan dadah ketika ini mula menggunakan teknologi enkripsi, jaringan ‘dark web’ dan ‘deep web’ dalam menjalankan urus niaga dadah sekali gus menyebabkan komunikasi mereka sukar dikesan.

“Evolusi dadah baharu menyebabkan jabatan ini perlu sentiasa meningkatkan kemampuan dalam aspek forensik dan pengesanan.

“Kita memerlukan teknologi canggih untuk mendapatkan maklumat risikan yang tepat dan masa yang singkat,” katanya.

Sementara itu, Kok Chin berkata, gabungan pelbagai faktor sosial, psikologi, dan persekitaran menjadi punca utama semakin ramai yang ketagihan dadah.

Katanya, tekanan hidup dan masalah emosi dari segi kewangan, masalah keluarga serta pekerjaan mendorong sesetengah individu menggunakan dadah sebagai ‘jalan keluar’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN