PETALING JAYA: Peningkatan kes kemalangan jalan raya melibatkan pemandu warga emas di negara ini boleh dikurangkan jika syarat tambahan bagi pembaharuan lesen memandu untuk golongan tersebut diperkenalkan.
Antara syarat yang boleh diusulkan adalah, warga emas berusia 65 tahun ke atas yang masih ingin memandu perlu melakukan penilaian kompetensi dan kesihatan, berikutan tiada had umur maksimum untuk golongan itu memandu di jalan raya.
Syarat ini juga dilaksanakan di beberapa negara seperti Jepun, Singapura, Korea Selatan, Australia, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom UK) dengan tidak melarang warga emas memandu, malah mengenakan syarat-syarat tambahan untuk memperbaharui lesen memandu mereka.
Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof. Madya Ts. Dr. Siti Zaharah Ishak berkata, ketika ini, perundangan Malaysia hanya menetapkan had umur minimum untuk kelayakan memandu tanpa menetapkan had umur maksimum.
Bagaimanapun menurutnya, Seksyen 30 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) mewajibkan pemandu memastikan diri mereka berada dalam keadaan sihat dan berupaya untuk memandu.
Jelasnya, peruntukan ini dianggap memadai untuk memastikan individu yang berisiko tidak memandu tanpa menghalang warga emas lain yang masih sihat dan layak.
“Namun, jika kadar kemalangan melibatkan warga emas tidak dapat dikawal dengan peruntukan sedia ada, tidak mustahil kaedah penilaian tambahan bagi pembaharuan lesen memandu diperkenalkan di Malaysia.
“Langkah ini memerlukan kerjasama pelbagai pihak seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), institusi kesihatan, warga emas sendiri dan ahli keluarga mereka.
“Sekiranya polisi penilaian semula diperkenalkan, tempoh pembaharuan lesen sehingga sepuluh tahun yang sedia ada perlu disemak semula.
“Ini kerana tempoh pembaharuan lesen bagi warga emas biasanya dikurangkan kepada dua atau tiga tahun bagi memudahkan penilaian berkala dijalankan di negara lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jumlah penglibatan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas dalam nahas jalan raya membimbangkan apabila trend itu semakin meningkat.
Trend peningkatan yang melibatkan warga emas dalam nahas jalan raya bagi tahun 2020 adalah sebanyak 8.9 peratus meningkat kepada 9.2 peratus pada 2021 dan 12 peratus pada 2022 disebabkan oleh peningkatan populasi warga emas dalam negara.
Ia lebih membimbangkan apabila Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan populasi warga emas berusia 60 tahun ke atas mencecah seramai 3.3 juta (10.3 peratus) pada 2020, meningkat kepada 3.5 juta (10.7 peratus) bagi 2021 dan kini dianggarkan lebih kurang 3.8 juta (11.3 peratus) warga emas pada tahun 2023.
Mengulas lanjut, Siti Zaharah berkata, pemilikan lesen memandu ini dilihat sebagai satu lambang kebebasan kepada warga emas dalam proses penuaan sihat.
Namun beliau berkata, tidak dinafikan terdapat sebilangan warga emas yang masih memandu dalam keadaan mereka tidak menyedari bahawa keupayaan mereka untuk memandu dengan selamat telah terbatas.
“Penuaan boleh memberi kesan kepada kecergasan dan kemampuan seseorang terutamanya warga emas untuk memandu.
“Keterbatasan penglihatan dan pendengaran, kesukaran memproses maklumat yang berubah pantas, reaksi tindak balas yang lebih perlahan, kekakuan sendi dan kelemahan otot adalah antara kesan penuaan yang boleh mengganggu pemanduan selamat.
“Oleh itu, penekanan mengenai pengetahuan mengenai kesihatan dan keupayaan perlu diberi kepada semua pemandu, termasuklah warga emas,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Law Teik Hua menyarakan kerajaan memperkenalkan pemeriksaan kesihatan berkala untuk warga emas yang mahu memperbaharui lesen memandu bagi memastikan golongan itu layak mengendalikan kenderaan di jalan raya.
Beliau berkata, negara-negara maju seperti Australia dan Jepun telah lama melaksanakan peraturan yang mewajibkan warga emas berusia 75 tahun ke atas menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum memperbaharui lesen memandu.
Tambah beliau, pemeriksaan tersebut penting bagi menilai tahap kesihatan warga emas secara menyeluruh termasuk mengenal pasti sebarang masalah kesihatan melibatkan deria pendengaran, penglihatan atau koordinasi yang boleh menjejaskan keselamatan diri dan orang lain semasa memandu.
“Model seperti ini sangat relevan untuk dilaksanakan di Malaysia, namun ia perlu disesuaikan dengan tahap kesedaran masyarakat dan kemudahan kesihatan yang tersedia.
“Pemeriksaan berkala bukan sahaja mampu meningkatkan keselamatan di jalan raya tetapi turut memastikan warga emas yang masih sihat diberi peluang untuk terus memandu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, Teik Hua memberitahu, inisiatif tersebut memerlukan kajian mendalam sebelum dilaksanakan bagi memastikan ia adil kepada semua pihak.
Jelasnya, ia juga perlu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bagi memastikan keberkesanannya.
“Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama tetapi pendekatan ini tidak seharusnya mendiskriminasi warga emas yang sihat dan masih mampu memandu dengan baik,” katanya.- UTUSAN










