PETALING JAYA: Teka-teki pengganti Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh sebagai Peguam Negara yang baharu terjawab apabila Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar dilantik ke jawatan itu bermula hari ini.
Mohd. Dusuki sebelum ini Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara yang merupakan kedudukan keempat selepas Peguam Cara, Datuk Suzana Atan dan Peguam Cara II, Datuk Umar Saifuddin Jaafar.
Ia bukan pertama berlaku apabila Tan Sri Abdul Gani Patail yang merupakan Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara sebelum dilantik sebagai Peguam Negara bagi menggantikan Tan Sri Ainum Mohd Saaid yang meletakkan jawatan kerana sebab-sebab kesihatan pada 2001.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pelantikan itu bagi menggantikan Ahmad Terrirudin yang telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.
Katanya, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Mohd. Dusuki selaras dengan Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Shamsul Azri, Mohd. Dusuki yang dilahirkan di Machang, Kelantan, berusia 57 tahun dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta Ijazah Sarjana Undang-Undang University of Wollongong, Australia.
“Beliau mempunyai pengalaman luas selama 31 tahun dalam perkhidmatan perundangan di Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan semalam.
Mohd. Dusuki pengalaman luas dalam bidang pendakwaan dan pernah mengetuai pasukan pendakwaan membabitkan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menggantikan Datuk Raja Rozela Raja Toran.
Selain itu, belilau pernah mengendalikan kes-kes Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan serta kes-kes berprofil tinggi termasuk pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah.
Dalam pada itu, Shamsul Azri berkata, kerajaan merakamkan penghargaan kepada Ahmad Terrirudin di atas perkhidmatan beliau kepada negara selama memegang jawatan tersebut.
Beliau dilantik sebagai Peguam Negara berkuat kuasa 6 September 2023 menggantikan Tan Sri Idrus Harun yang tamat tempoh lantikan secara kontrak pada 5 September 2023.
Terrirudin yang memulakan kerjaya sebagai pegawai undang-undang pada 1992 berkhidmat di pelbagai kedudukan termasuk Hakim Mahkamah Sesyen dan kemudian dilantik Pengerusi Mahkamah Perusahaan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Beliau juga pernah menjadi Timbalan Ketua Jabatan Sivil di Pejabat Peguam Negara dan berkhidmat sebagai Penasihat Undang-Undang Kedah, sebelum dilantik Ketua Pendaftar di Mahkamah Persekutuan pada 2019.
Sementara itu, Ahmad Terrirudin ketika ditemui pada sesi merakam waktu keluar (clock-out) di lobi bangunan AGC di Putrajaya petang semalam, merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan kerana memberi peluang beliau menerajui Jabatan Peguam Negara sebelum ini.
“Terima kasih kerajaan kerana memberi peluang kepada saya menerajui Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya.
Beliau yang ditemui berkata, selepas ini beliau akan berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.
“Esok saya angkat sumpah (Hakim Mahkamah Persekutuan). Okay Putrajaya thank you very much. (Terima kasih semua),” katanya. – UTUSAN










