MIHAS@Dubai 2024 sasar jualan RM1 bilion

MIHAS@Dubai 2024 sasar jualan RM1 bilion

AHMAD Zahid Hamidi melawat reruai di MIHAS@Dubai 2024 di Dubai, semalam, yang mempamerkan pelbagai produk halal keluran syarikat Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia akan terus mengukuhkan perdagangan halal di peringkat global dalam usaha meletakkan negara sebagai pemain utama sektor berkenaan yang kini semakin berkembang pesat.

Justeru Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, hubungan perdagangan kukuh antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam industri halal mampu menyokong permintaan tinggi terhadap produk halal premium Malaysia di rantau Asia Barat dan Afrika Utara (MENA).

Katanya, setakat ini pelbagai langkah dilakukan Malaysia ke arah memperkukuhkan sektor halal antaranya membangunkan sistem pensijilan halal yang komprehensif dan dipercayai di peringkat global melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Ini sekaligus memberi pengiktirafan pensijilan halal negara di peringkat antarabangsa, dengan 88 badan pensijilan di seluruh dunia menyokongnya.

“Malaysia juga telah membina ekosistem halal yang kukuh dan matang, secara konsisten berada di kedudukan teratas dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global.Pencapaian ini mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi kami terhadap standard tinggi, kualiti dan integriti, yang menyokong kepimpinan dan komitmen Malaysia untuk memajukan sektor halal global,” katanya dalam ucapan perasmian MIHAS@Dubai 2024 di Dubai, semalam.

Ahmad Zahid berkata, tahun lalu, Malaysia merekodkan eksport halal bernilai RM55 bilion (AS$12.5 bilion) melalui peranan yang dimainkan menerusi penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS).

Katanya, ia memainkan peranan penting dalam membuka potensi yang lebih besar untuk industri tersebut.

“UAE muncul sebagai destinasi utama produk halal Malaysia dalam kalangan negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), mencatatkan import bernilai RM1.13 bilion (AS$256 juta).

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, menerusi penganjuran MIHAS@Dubai tahun ini, kerajaan menetapkan sasaran jualan eksport sebanyak RM1 bi­lion (AS$250 juta) menunjukkan keyakinan permintaan tinggi terhadap produk halal Malaysia.

“Selama dua dekad, MIHAS te­lah menjadi platform yang banyak membantu kejayaan perniagaan halal, daripada perusahaan kecil hingga syarikat besar. Dengan penganjuran MIHAS di Dubai, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengukuhkan hubungan Malaysia dengan Asia Barat dan melangkaui darinya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×