PETALING JAYA: Perdana Menteri menegaskan, Malaysia kekal konsisten dengan pendirian terhadap isu Israel dan Palestin serta menekankan Putrajaya tidak pernah mengiktiraf kewujudan negara Israel secara diplomatik.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia tidak menghantar pegawai kedutaan atau menjalin hubungan diplomatik dengan Israel sebagai protes terhadap penindasan ke atas rakyat Palestin.
Kata beliau, Malaysia tetap komited dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin dan dalam banyak forum antarabangsa termasuk sidang di Riyadh ke APEC kali ini, Malaysia tidak pernah berhenti menyuarakan tentangan terhadap penjajahan dan kezaliman dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin.
“Apa yang perlu difahami, kita tidak pernah mengiktiraf Israel dari segi hubungan diplomatik dan tidak izinkan mereka untuk menjalankan perdagangan atau aktiviti rasmi di Malaysia.
“Dalam konteks sistem antarabangsa, ada yang menyebutkan de facto dan ada mengatakan de jure. Israel wujud sebagai sebuah negara di dalam konteks keanggotaan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun kita tetap menolak pengiktirafan rasmi terhadap negara tersebut,” katanya pada Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Lima, Peru.
Anwar turut membidas tuduhan dan dakwaan bahawa beliau atau kerajaan Malaysia bersekongkol dengan Israel.
“Politik apa macam ini, perbodohkan rakyat, fitnah atas nama Islam, ini disebut penunggang agama yang tak reti mengulas.Tuduhan seperti itu tidak berasas dan merupakan fitnah yang sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu untuk kepentingan politik sempit.
“Mereka yang menyebarkan fitnah ini tidak faham tentang konteks politik antarabangsa atau mungkin mereka sengaja mencari alasan untuk putar belit fakta untuk tujuan tertentu. Saya mahu rakyat faham bahawa Malaysia terus berpegang pada prinsip keadilan untuk Palestin,” katanya.
Selain itu, Anwar berkata, pada sidang APEC di Lima, Malaysia satu-satunya negara yang secara terbuka membangkitkan isu Palestin walaupun tema utama perbincangan tersebut adalah mengenai ekonomi dan perdagangan.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan ahli politik khususnya dari parti berteraskan Islam agar tidak memutarbelitkan fakta demi agenda tertentu, sebaliknya menyeru agar rakyat dididik dengan hujah yang adil dan berdasarkan kebenaran.
“Sebagai Ahli Parlimen, kita perlu mengelak daripada memperbodoh rakyat. Pendirian Malaysia jelas, kita tidak pernah mengiktiraf Israel, malah sentiasa tegas dalam mempertahankan hak rakyat Palestin,” katanya di Facebook miliknya.
Anwar sekali lagi menafikan dakwaan Malaysia mengiktiraf kewujudan negara Israel, sebaliknya menyatakan pendirian tegas negara untuk menyingkirkan Israel daripada keanggotaan PBB.
“Israel sememangnya wujud dan sudah menjadi anggota PBB. Namun, Malaysia tidak pernah mengiktiraf kewujudan negara tersebut dalam apa jua bentuk.
“Justeru, atas dasar kewujudannya itu, Malaysia mengusulkan penyingkiran Israel dari PBB atas alasan jenayah terhadap kemanusiaan yang tidak sejajar dengan prinsip ketamadunan,” katanya. – UTUSAN










