IPOH: Kerajaan negeri tidak lepas tangan terhadap industri pelancongan di Lumut, yang didakwa menjadi pekan mati kerana kekurangan pelancong meskipun popular sebagai pintu masuk ke Pulau Pangkor.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, kerajaan negeri sendiri mengadakan program di Lumut selain menyokong segala aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk melariskan Lumut.
Beliau bagaimanapun berkata, usaha memelihara industri pelancongan tidak terletak di bahu satu pihak sahaja, tetapi perlu juga kesungguhan daripada pemain industri.
“Ia perlu bersekali. Kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan NGO di Lumut dan Pangkor. Kita sering berkomunikasi. Apa yang dibawa kepada kita, kita cuba selesaikan, namun sudah tentu ia mengambil masa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada masa sama, tambah beliau, pemain industri juga perlu mempergiatkan aktiviti dan perniagaan mereka.
“Contohnya ada resort yang kita pergi di mana biliknya cantik, harga munasabah dan makanan pun okay. Pada masa sama, bukan semua tetapi ada segelintir yang meletakkan harga terlampau tinggi atau muka masam.
“Perkara begini, apabila tersebar dalam media sosial. Ia menyebabkan orang ramai takut untuk datang. Isu ini boleh berlaku di mana-mata tempat termasuk dalam dan luar negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan kumpulan pemain industri, jika mendapati satu daripada mereka melakukan tindakan yang boleh merosakkan imej setempat, teguran perlu dibuat supaya tidak mencemarkan keseluruhan perniagaan.
“Misalnya daripada 10 pemain industri, jika ada satu daripada mereka melakukan aktiviti yang merosakkan nama, maka sembilan lagi itu perlu tegur. Jangan tunggu kerajaan sahaja untuk membuat teguran, contohnya soal kebersihan,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan pekan Lumut tidak lagi semeriah dahulu sebaliknya ia umpama pekan mati disebabkan semakin kurang dikunjungi orang luar terutama pelancong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Norhaslinda Zakaria berkata, pekan itu semakin kurang pelancong disebabkan pelancong yang mahu ke Pulau Pangkor sudah mempunyai pilihan menggunakan feri ke pulau tersebut iaitu di Jeti Marina.
Beliau meminta kerajaan negeri memberi perhatian untuk menghidupkan semula pekan kecil itu dengan mengadakan banyak promosi dan program keramaian bagi menarik pelancong. – UTUSAN











