BEIRUT: Lubnan memfailkan aduan terhadap Israel kepada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berhubung beberapa serangan maut melibatkan letupan peranti kelui, September lalu.
Menteri Buruh Lubnan, Mustafa Bayram mengemukakan aduan rasmi itu di ibu pejabat PBB di Geneva, Switzerland pada Selasa lepas.
“Ini adalah kejadian yang sangat berbahaya jika tidak dikecam.
“Kita berada dalam situasi di mana objek biasa – yang digunakan dalam kehidupan seharian – menjadi senjata berbahaya dan mengakibatkan kematian,” katanya dalam sidang akhbar di Geneva.
Letupan pada 23 September lalu dikatakan bertujuan menyasarkan kumpulan Hezbollah di Lubnan, yang menggunakan peranti itu untuk berkomunikasi.
Serangan itu secara meluas dipersalahkan ke atas Israel, yang tidak mengesahkan atau menafikan tuduhan tersebut.
Bayram berkata, hakikat bahawa Israel dalang di sebalik perbuatan keji itu diterima secara meluas di peringkat antarabangsa.
Katanya, jumlah korban adalah lebih tinggi daripada yang dilaporkan pada awalnya, dengan lebih 4,000 orang awam menjadi mangsa – maut, cedera dan cacat – dalam beberapa minit akibat serangan berkenaan.
Ditanya mengapa memilih memfailkan aduan di ILO, Bayram menjelaskan, kebanyakan mangsa terlibat adalah kumpulan pekerja yang sedang bertugas.
“Kami merasakan keperluan untuk menunjukkan ini bertentangan dengan persekitaran kerja, keselamatan dan perlindungan, bercanggah dengan prinsip kerja yang baik… dipertahankan oleh ILO,” katanya.
Beliau berkata, pihak berkuasa Lubnan juga masih boleh memfailkan aduan mengenai serangan kelui di forum antarabangsa lain, termasuk Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Susulan daripada serangan peranti kelui itu, Israel memulakan perang yang lebih sengit terhadap Lubnan.– AL JAZEERA











