PETALING JAYA: Keahlian semasa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang memberikan kuasa veto kepada lima kuasa besar dunia dikenali sebagai P5 tidak adil dan tidak inklusif.
Perdana Menteri ketika lantang membangkitkan isu itu berkat, ini disebabkan ketiadaan wakil dari Amerika Latin dan benua Afrika dalam keanggotaan tetap UNSC.
Oleh itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa supaya kuasa veto yang dimiliki oleh lima negara anggota tetap UNSC itu dikaji semula supaya lebih inklusif kepada semua pihak.
Tegas beliau, perwakilan dari Afrika dan Amerika Latin dalam UNSC adalah penting untuk mewakili dan menyuarakan kepentingan negara-negara di ke-dua-dua benua tersebut.
“Ketetapan semasa (UNSC) sangat tidak adil. Sepatutnya perlu ada wakil dari Amerika Latin dan Afrika,” kata-nya pada sesi kedua intervensi bertajuk ‘Reformasi Institusi Tadbir Urus Global’ pada Sidang Kemuncak G20 yang berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil, semalam.
Bersuara dengan nada tegas di pentas dunia, Anwar berkata, perwakilan demokratik dari Amerika Latin dan Afrika sewajarnya dipertimbangkan supaya menganggotai UNSC.
Keanggotaan tetap UNSC yang memegang kuasa veto pada masa ini adalah China, Perancis, Russia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) atau dikenali sebagai Permanent Five (P5).
Tambahnya, reformasi PBB sudah dibincangkan selama lima dekad lalu, namun sehingga kini masih tiada perubahan signifikan dilaksanakan terhadap badan dunia tersebut.
“Kita bercakap mengenai reformasi institusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kita bercakap tentang ideal, kemanusiaan, nilai kemanusiaan, namun tiada perwakilan dari Afrika, tiada perwakilan untuk Amerika Latin (dalam UNSC), siapa yang peduli?
“Amat tidak adil untuk meneruskan ketetapan semasa berhubung UNSC dengan mengecualikan perwakilan dari wilayah ini,” katanya.
Pendirian tegas Perdana Menteri berhubung keperluan melaksanakan reformasi terhadap struktur UNSC menunjukkan komitmen Malaysia untuk memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan di peringkat global.
Pada masa sama, Anwar menzahirkan seruan supaya pembaharuan PBB mesti mengambil kira prinsip-prinsip perwakilan.
Ketegasan Malaysia dalam isu itu selari dengan Deklarasi Pemimpin G20 Rio de Janeiro, yang menggariskan keperluan kepada pembaharuan transformatif UNSC, bertujuan menyelaras badan itu dengan realiti dan tuntutan abad ke-21.
Pembaharuan dicadangkan itu bertujuan untuk menjadikan UNSC lebih representatif, inklusif, cekap, berkesan, demokratik dan bertanggungjawab, lebih telus kepada seluruh anggota PBB untuk membolehkan perkongsian tanggungjawab yang lebih baik dalam kalangan semua negara anggota.
Ia termasuk menambah baik keberkesanan dan ketelusan kaedah kerja UNSC.
Deklarasi itu juga menekankan keperluan untuk komposisi UNSC diperbesarkan, yang akan menambah baik aspek perwakilan bagi wilayah dan kelompok yang kurang diwakili dan tidak diwakili, seperti Afrika, Asia-Pasifik dan Amerika Latin dan Caribbean.








