ALOR GAJAH: Kekurangan pegawai dan anggota di lapangan serta implikasi kewangan membabitkan logistik dan tuntutan elaun menjadi cabaran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan strategi meningkatkan keberadaan (omnipresence) bermula Januari tahun depan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pihaknya ada mengemukakan Kementerian Kewangan menggunakan sebahagian besar peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2025 bagi memenuhi keperluan tersebut.
Katanya, bilangan penguat kuasa terhad menyebabkan penempatan pegawai dan anggota tidak boleh dibuat mengikut jumlah pentadbiran daerah.
“Setakat ini Bahagian Penguat Kuasa KPDN mempunyai 75 pejabat di seluruh negara termasuk ibu pejabat negeri, cawangan dan sub cawangan. Contohnya, KPDN Cawangan Kapit, Sarawak mempunyai keluasan seliaan terbesar iaitu 38,934 kilometer persegi tetapi kita hanya ada 14 pegawai penguat kuasa tetap.
“KPDN Cawangan Sandakan, Sabah menyelia kawasan seluas 28,205 kilometer persegi dengan kekuatan 19 penguat kuasa tetap, cawangan Johor Bahru, Johor pula mempunyai kepadatan penduduk dan premis perniagaan tinggi,” katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Sains Penguatkuasaan KPDN 2024 di sini, semalam.
Terdahulu, seramai 284 pegawai melibatkan 244 pegawai lantikan baharu dan 40 pegawai Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) serta Pegawai Sedang Berkhidmat (PSB), menamatkan latihan menjadikan jumlah keseluruhan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN 2,464 orang.
Armizan berkata, strategi meningkatkan keberadaan penguat kuasa KPDN penting bagi memastikan aspek kawalan dan pemantauan diperkasakan termasuk melaksanakan tindakan susulan terhadap setiap aduan diterima.










