Hubungan luar nikah, pil cegah hamil punca ramai enggan kahwin?

Hubungan luar nikah, pil cegah hamil punca ramai enggan kahwin?

DATA Kementerian Ke­si­hatan menunjukkan 44,263 kes kehamilan remaja direkodkan sejak lima tahun lepas melibatkan 17,646 orang belum berkahwin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kebanyakan generasi muda dipercayai lebih cenderung menjalin hubungan tidak sah atau luar nikah de­ngan pasangan masing-masing kerana tidak mahu terikat de­ngan komitmen jangka panjang sekali gus menyumbang kepada penurunan kadar perkahwinan.

Senario ini dikuatkan lagi dengan data Kementerian Ke­si­hatan yang menunjukkan 44,263 kes kehamilan remaja direkodkan sejak lima tahun lepas melibatkan 17,646 orang belum berkahwin.

Pakar Motivasi dan Kaunse­ling Rumah Tangga, Hushim Salleh berkata, masalah ini sering dikaitkan dengan perubahan gaya hidup, tekanan sosial dan pengaruh budaya Barat.

Menurutnya, kebanyakan ge­nerasi muda merasakan per­kahwinan sebagai satu beban sehingga mereka beranggapan kehidupan tanpa perkahwinan lebih mudah dan tidak memerlukan komitmen besar.

“Setiap bulan, klinik saya menerima lima hingga enam kes remaja yang enggan berkahwin tetapi tetap memilih untuk menjalin hubungan seksual.

“Mereka melihat hubungan ini sebagai sesuatu yang lebih mudah dan kurang membebankan dari segi kos,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.

Akhbar ini semalam melaporkan hidup bujang dan meng­utamakan kerjaya menjadi trend generasi muda sekarang sehingga menyumbang kepada semakin ramai tidak mahu berkahwin atau me­lambatkan perkahwinan.

Selain itu, trend gaya hidup bebas, kos sara hidup tinggi, pengalaman pahit atau kecewa dalam percintaan dan stigma anak dara tua atau andartu yang sema­kin hilang dalam masyarakat, me­ningkatkan lagi penurunan kadar per­kahwinan golongan ini.

Mengulas lanjut, Hushim ber­kata, penggunaan alat pen­cegah kehamilan turut me­nyum­bang kepada peningkatan isu ini sekali gus merosakkan institusi kekeluargaan.

Ujar beliau, isu ini bukan sekadar melibatkan moral dan budaya, namun turut menimbulkan kebimbangan terhadap risiko penyakit kelamin.

“Malangnya, ramai tidak menyedari kesan jangka panjang seperti kerosakan rahim akibat penggunaan pil yang tidak terkawal. Ini antara sebab kita lihat ramai remaja mendapatkan bantuan di rumah perlin­dungan.

“Selain itu, hubungan luar nikah yang tidak terancang turut menyumbang kepada peningkatan kes buang bayi. Kes ini sering berlaku apabila remaja terdesak menyembunyikan kehamilan mereka,” katanya.

Tambahnya, masalah tersebut adalah realiti dan sememangnya berlaku serta tidak boleh disembunyikan lagi.

“Ini bukan lagi perkara yang boleh diabaikan kerana melibatkan generasi muda dan masa depan masyarakat. Kita perlukan pendekatan lebih berani dan menyeluruh untuk mengatasi isu ini.

“Tapi kita harus berhati-hati agar tidak menimbulkan kontroversi,” jelasnya.

Sementara itu, Pensyarah Psi­kologi Sosial, Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr. Intan Hashimah Mohd. Hashim berkata, kadar perceraian tinggi turut mendorong individu untuk lebihberhati-hati dalam memilih pasangan hidup bagi menjamin perkahwinan lebih stabil dan berkekalan.

“Terdapat perubahan dalam cara masyarakat moden menilai keperluan dan ketersediaan dalam mendirikan rumah tangga. Walaupun perkahwinan ditangguhkan, ia tetap menjadi matlamat jangka panjang bagi kebanyakan individu.

“Lagipun, orang bujang se­ring mendapat sokongan sosial yang kuat daripada rakan-rakan dan keluarga. Ini menunjukkan status bujang tidak semestinya membawa kepada penurunan kesejahteraan individu,” kata­nya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN