Hartal doktor kontrak bantah arahan tambahan tiga jam kerja jururawat - Utusan Malaysia

Hartal doktor kontrak bantah arahan tambahan tiga jam kerja jururawat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hartal Doktor Kontrak menyuarakan bantahan keras terhadap arahan baharu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang mewajibkan jururawat di wad untuk bekerja tambahan tiga jam seminggu mulai 1 Disember ini.

Katanya, keputusan tersebut bukan sahaja tidak adil namun berisiko untuk memburukkan lagi situasi dihadapi jururawat yang merupakan tunjang utama sistem penjagaan kesihatan negara.

“Jururawat kita sudah pun menjalani beban kerja yang berat, kurang dihargai dan berada pada had kemampuan mereka. Mereka selalu mengorbankan kesejahteraan fizikal, emosi dan mental demi menjaga pesakit.

“Dasar ini menambahkan lagi tekanan dan keletihan mereka dan bukannya meringankan beban mereka. Waktu tambahan bekerja, ditambah dengan gaji yang tidak stabil dan kekurangan elaun yang mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan.

Hartal berkata, keadaan itu akan meningkatkan tekanan dan keletihan dalam kalangan jururawat tanpa sebarang usaha untuk meringankan beban mereka.

“Tambahan waktu bekerja tanpa peningkatan gaji yang setimpal atau elaun yang memadai hanya akan memburukkan keadaan malah sistem penjagaan kesihatan yang mengabaikan pekerjanya tidak dapat berkhidmat dengan berkesan kepada rakyatnya.

“Keyakinan orang ramai terhadap sistem penjagaan kesihatan akan goyah jika perkhidmatan penting terjejas akibat kekurangan tenaga kerja,” katanya.

Mengulas lanjut, Hartal menyifatkan arahan ini sebagai satu langkah ke belakang yang gagal menangani isu utama yang sekian lama menghantui tenaga kerja kejururawatan seperti kurangan elaun syif yang mencukupi, ketidakseimbangan antara kerja dan kehidupan serta tekanan fizikal dan emosi akibat beban kerja yang berat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN