NARATHIWAT, THAILAND: Mahkamah Wilayah Narathiwat semalam, memerintahkan tahanan reman sehingga tiga bulan atau 84 hari ke atas enam rakyat Malaysia termasuk seorang penyanyi lagu dialek Kelantan wanita Kelantan selepas ditangkap memiliki 6,000 biji pil kuda di sebuah hotel di Sungai Golok, Jumaat lalu.
Menurut sumber, susulan perintah itu, kesemua suspek akan dipindahkan ke penjara Narathiwat bagi membolehkan pihak polis meneruskan siasatan lanjut kes berkenaan.
“Pegawai siasat boleh menyoal siasat suspek setiap 12 hari sepanjang tempoh ini. Keluarga suspek boleh memohon jaminan, namun jumlahnya akan ditentukan oleh mahkamah,” katanya.
Mengikut undang-undang Thailand, memiliki 6,000 pil boleh membawa kepada hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun, serta denda sebanyak 200,000 baht bersamaan RM25,880.
Sementara itu, polis Kelantan mengesahkan dua daripada enam individu yang ditangkap memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata kedua-dua individu yang mempunyai rekod jenayah itu adalah lelaki.
“Memang dua lelaki daripada enam individu berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan memiliki dadah di Kelantan. Sehingga kini kita serahkan kepada polis Thailand untuk siasatan lanjut berhubung kes berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis suai kenal bersama media, di Kota Bharu.
Ditanya sama ada kesemua mereka terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah, Mohd. Yusoff tidak dapat mengesahkan perkara berkenaan.
“Namun secara logik takkan 6,000 biji pil kuda untuk milikan atau makan sendiri? Namun saya tidak dapat sahkan sama ada mereka terbabit dengan pengedaran atau sebaliknya. Bagaimanapun hasil ujian air kencing terhadap kesemua mereka adalah positif methamphetamine,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, enam rakyat Malaysia termasuk penyanyi dikir barat moden Kelantan, ditangkap di sebuah hotel di Sungai Golok, Jumaat lalu kerana memiliki 6,000 pil kuda.
Tangkapan membabitkan tiga lelaki dan tiga perempuan berusia 25 hingga 32 tahun pada jam 6 pagi (waktu Malaysia) Jumaat lalu, di sebuah bilik selepas mereka selesai berhibur. – UTUSAN









