China uji sampel bata untuk bangun pangkalan di Bulan

China uji sampel bata untuk bangun pangkalan di Bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: China mengambil langkah besar dalam usahanya membina pangkalan pertama di bulan dengan melancarkan eksperimen angkasa untuk menguji keupayaan menghasilkan bata menggunakan tanah bulan.

Roket kargo membawa sampel bata itu dilancarkan lewat malam semalam menuju ke stesen angkasa Tiangong, sebahagian daripada misi Beijing untuk menghantar manusia ke bulan menjelang 2030 dan membina pangkalan kekal di sana pada 2035.

“China melancarkan kapal kargo Tianzhou-8 dari Pusat Pelancaran Satelit Wenchang pada malam Jumaat, untuk menghantar bekalan ke stesen angkasa Tiangong,” lapor agensi berita Xinhua, memetik kenyataan agensi angkasa negara itu.

Membina pangkalan di bulan bukan tugas mudah kerana struktur tersebut perlu menahan radiasi kosmik yang tinggi, perubahan suhu ekstrem antara 180 darjah Celsius hingga -190 darjah Celsius serta gempa bulan yang boleh melemahkan binaan.

Bata tersebut akan menjalani ujian ketahanan di stesen angkasa selama tiga tahun, dengan sampel dihantar pulang setiap tahun untuk analisis.

“Eksperimen ini memberi pendedahan kepada bahan di angkasa bagi menilai sama ada ketahanan dan prestasinya berkurangan dalam persekitaran ekstrem,” kata Prof Zhou Cheng dari Universiti Teknologi Sains Huazhong, Wuhan.

Prototaip bata yang dihasilkan pasukan Prof. Zhou berdasarkan analisis tanah bulan yang dibawa pulang oleh misi Chang’e-5 China.

Bata berwarna hitam itu dikatakan tiga kali lebih kuat daripada bata biasa dan boleh bercantum tanpa bahan pelekat.

China bukan satu-satunya negara yang berusaha membina pangkalan di bulan.

Sebelum ini, China melalui pangkalan bulannya, yang dikenali sebagai International Lunar Research Station (ILRS), adalah kerjasama dengan Rusia dan melibatkan 12 negara seperti Thailand, Pakistan, Venezuela dan Senegal, serta lebih 40 organisasi antarabangsa.

Agensi Angkasa Eropah (ESA) turut mengkaji kaedah membina bata yang menyerupai struktur Lego, manakala penyelidik Universiti Central Florida di Amerika sedang menguji bata menggunakan teknologi pencetak 3D.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN