Bina tembok sempadan atasi penyeludupan

Bina tembok sempadan atasi penyeludupan

LANGKAH membaiki pagar sempadan se­­tiap kali rosak atau dirosakkan adalah tidak efisien kerana selepas dibaiki waktu pagi, se­belah petang akan dirosakkan lagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Isu sempadan nega­ra khususnya di negeri ini yang mudah dibolosi berikutan ham­pir keseluruhan pagar kesela­ma­tan uzur dan usang hanya boleh diatasi dengan kerajaan menyediakan peruntukan besar bagi membina tembok di sepanjang laluan itu.

Jika tidak, masalah sama akan terus berulang sekali gus memberi ancaman berterusan kepada keselamatan dan kedau­latan negara.

Langkah membaiki pagar se­­tiap kali rosak atau dirosakkan adalah tidak efisien kerana selepas dibaiki waktu pagi, se­belah petang akan dirosakkan lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Hu­bu­ngan dan Kerjasama Sempadan negeri, Izizam Ibrahim berkata, pagar di laluan kese­la­matan sempadan tersebut dilihat sudah tidak lagi sesuai bagi mengekang aktiviti penyeludupan.

Katanya, hal demikian ini kerana ia terlalu mudah dibolosi terutama apabila keadaan pagar sudah terlalu teruk, berlubang dan uzur.

“Langkah paling berkesan untuk menyelesaikan isu sempadan ini adalah dengan membina tembok. Bagaimanapun, ia melibatkan kos tinggi. Mungkin sukar kerajaan menyediakan peruntukan yang besar itu secara sekali gus, namun ia boleh disalurkan secara berperingkat.

“Bina sedikit demi sedikit tembok dan masukkan perkara itu dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13). Selain itu, mungkin juga boleh dibina pagar berlapis dalam mengekang penyeludupan ini dengan kos lebih berpatutan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, laporan muka depan Utusan Malaysia membangkitkan mengenai keadaan hampir keseluruhan pintu pagar keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand khususnya di negeri ini yang uzur dan usang memberi ancaman besar kepada keselamatan dan kedaulatan negara.

Keadaan itu membabitkan laluan keselamatan di sesetengah laluan di sepanjang 98.2 kilometer (km) kawasan sempadan di Perlis terutama dari Chuping, Padang Besar sehingga Pos Bukit Batu Putih, Kuala Perlis.

Sepanjang 45km daripada garisan sempadan tersebut pula tidak memiliki tembok atau pagar keselamatan susulan keadaan muka bumi berbukit bukau dan hutan tebal.

Kebanyakan pagar sempadan di sekitar negeri sudah berusia lebih 30 tahun yang sudah tiba masanya digantikan dan memerlukan penambahbaikan segera.

Pagar sempadan yang rosak dan usang itu juga antara punca berlaku aktiviti pembolosan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penyeludupan barangan terlarang seperti dadah serta ketum di sekitar laluan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar.

Tambah Izizam, kerajaan negeri sebelum ini juga beberapa kali membuat permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membaik pulih struktur pagar di laluan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand itu.

Malah katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga pernah membentangkan keadaan pagar-pagar berkenaan yang memerlukan penambahbaikan segera.

“Semua pagar berkenaan telah berusia dan perlu digantikan bagi menjamin keselamatan daripada sebarang kegiatan jenayah atau pencerobohan.

“Keadaan pagar yang uzur itu membuka ruang kepada kegiatan pencerobohan atau jenayah di sempadan dan perlu diberikan perhatian. Selain itu, proses penambahbaikan pagar keselamatan itu perlu dilaksanakan selari dengan pembangunan projek-projek lain yang sedang rancak dijalankan di kawasan berkenaan seperti Projek Pelabuhan Darat Perlis (PIP) dan Projek Pembangunan Lembah Chuping (CVIA).

“Kedudukan Perlis ini adalah bersebelahan dengan Thailand jadi keadaan keselamatan di sini perlu diperkukuhkan dalam mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas pelbagai barangan kawalan, hidupan liar dan dadah yang semuanya dianggarkan bernilai RM865.6 juta sepanjang tempoh 10 bulan tahun ini.

Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, statistik sepanjang Januari hingga Oktober itu direkodkan menerusi 8,736 serbuan termasuk Op Kontraban, Op Tiris dan Op Bersepadu Khazanah.

Menurut beliau, dalam serbuan itu, seramai 6,795 individu ditahan oleh Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin dan Pasukan Simpanan Persekutuan.

“Dalam tempoh terbabit, sebanyak 295 kes penyeludupan dadah bernilai RM8.57 juta membabitkan pelbagai jenis dadah dirampas.

“Seramai 582 tangkapan dilakukan bagi kes penyeludupan melibatkan barangan kawalan manakala 161 individu lagi ditahan berkaitan kes hidupan liar,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Dalam pada itu, Mohamad Suzrin berkata, penyeludupan merupakan masalah yang wujud sejak sekian lama dan usaha mengekang isu terbabit sentiasa dilakukan antara dua negara berjiran dan bersempadan.

Katanya, kegiatan penyeludupan sentiasa wujud kerana keadaan sempadan negara dan terdapat pelbagai cabaran yang perlu dihadapi oleh kerajaan.

“Tembok atau pagar yang dibina merupakan usaha kita menjaga jenayah di sempadan dan tidak dinafikan terdapat tembok atau pagar yang telah usang dan dirosakkan oleh penyeludup untuk membina lorong.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa punca kes penyeludupan yang masih berlaku antaranya pagar sempadan Malaysia yang dipenuhi hutan tebal telah rosak dan berkarat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN