Bekalan kelapa kurang, santan naik harga RM4

Bekalan kelapa kurang, santan naik harga RM4

PENIAGA menyusun santan segar di Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu, Kelantan. – UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Bekalan kelapa tempatan yang sukar diperoleh menyebabkan harga santan segar mengalami kenaikan sejak dua bulan lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pasar basah di sini mendapati, bahan mentah itu dijual pada harga RM12 satu kilo­gram (kg) berbanding sebelum ini, RM8 hingga RM9.

Seorang peniaga, Izat Fahmi Ismail, 28, berkata, harga santan segar mengalami kenaikan sehingga RM4 sejak September lalu.

Menurutnya, harga sebiji kelapa ketika ini adalah RM3.20, berbanding sebelum ini antara RM1.50 hingga RM1.80.

“Disebabkan harga buah yang mahal, peniaga terpaksa menaikan harga santan segar. Situa­si itu menyebabkan pengguna merungut.

“Kalau sebelum ini saya beli 400 hingga 500 biji kelapa untuk menghasilkan santan segera, namun kini hanya sekitar 300,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Seorang lagi peniaga, Zahirah Ismail, 53, berkata, kenaikan harga kelapa biji memberi kesan kepada peniaga santan segar.

Katanya, pembekal mendakwa buah kelapa diimport dari negara luar menyebabkan harga­nya mahal iaitu mencecah RM3.50 sebiji.

“Memandangkan berniaga santan segar merupakan sumber pendapatan keluarga, saya terpaksa meneruskan juga. Saya juga beli buah kelapa sebanyak 2,000 biji untuk menghasilkan santan segar dalam masa tiga hari.

“Saya akui kuasa membeli kurang sejak harga santan segar naik. Tapi alhamdulillah, masih ada pelanggan tetap yang datang membeli termasuk harga paling rendah RM2 untuk satu plastik kecil,” katanya yang sudah berniaga lebih 30 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×