9,000 pokok ditanam di kawasan hutan simpan diceroboh

9,000 pokok ditanam di kawasan hutan simpan diceroboh

PENANAMAN pokok dilakukan oleh Pejabat Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands di kawasan hutan simpan yang diceroboh di Cameron Highlands, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Kira-kira 9,000 pelbagai jenis pokok ditanam di kawasan hutan simpan yang diceroboh di daerah ini terutama bagi menanam sayur-sayuran secara haram.

Pegawai Hutan Daerah Cameron Highlands, Arifhadi Johari Affandi berkata, pokok-pokok itu ditanam Pejabat Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands di bawah program restorasi yang diadakan dari semasa ke semasa.

“Selepas operasi musnah dilakukan kita akan hijaukan semula kawasan terbabit dengan aktiviti menanam pokok hutan yang dilakukan dengan kerjasama Pejabat Silvikultur Negeri Zon Pahang Barat, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

“Menjadi tanggungjawab kita selepas pemusnahan kebun haram dilakukan dengan berusaha memulihkan semula kawasan ceroboh terbabit dengan menanam beberapa jenis tanaman sesuai di tanah tinggi segera dilakukan,” katanya di sini.

Arifhadi Johari berkata, program penanaman semula kawasan ceroboh merupakan langkah mengembalikan keseimbangan alam semula jadi dalam memastikan kesinambungan sumber berharga di daerah ini.

“Sebanyak 2,300 pokok hutan ditanam dalam aktiviti sama pada bulan lalu selepas operasi pemusnahan bersepadu dilakukan membabitkan Hutan Simpan Mentigi dan Hutan Simpan Bertam.

“Terbaharu adalah aktiviti menanam sebanyak 2,000 pokok hutan membabitkan spe­sies Meranti Bukit, Meranti Tembaga, Merbau dan Arauca­ria dilakukan kelmarin membabitkan kawasan Hutan Simpan Sungai Ichat dan Hutan Simpan Batu Gangan seluas 2.85 hektar.

“Selepas kerja penanaman dilakukan, kita akan terus membuat pemantauan dan tinjauan bagi memastikan semua pokok ditanam hidup. Kerja menyulam turut akan dilakukan bagi menggantikan pokok yang mati,” katanya.

Menurutnya, pemusnahan tanaman sayuran setiap kali operasi musnah dilakukan merupakan tindakan yang perlu diambil kerana ia menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 32(1) Akta Perhutanan Negara 1984 kerana menceroboh kawasan hutan simpan.

“Dalam operasi pemusnahan bersepadu bulan lalu, kawasan kebun sayur seluas 16.98 hektar yang diusahakan secara haram dimusnahkan dalam tempoh lima hari operasi terbabit yang disertai kira-kira 148 anggota.

“Operasi membabitkan empat kawasan hutan simpan, Hutan Simpan Sungai Ichat seluas 0.9.hektar; Hutan Simpan Batu Gangan (1.22 hektar); Hutan Simpan Mentigi (5.7 hektar); dan Hutan Simpan Bertam (9.16 hektar).

“Turut dimusnahkan 20 binaan yang terdapat dalam empat hutan simpan tersebut berupa rumah kongsi termasuk pondok, stor simpanan baja dan rumah plastik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN