KLANG: Daripada yang sekecil-kecil hinggalah yang sebesar-sebesarnya, pelbagai jenis sampah sarap hanyut dibawa arus Sungai Klang memasuki Tanjung Harapan di Pelabuhan Klang, Selangor sebelum keluar ke laut.
Namun, tidak semua sampah itu masuk ke laut, kebanyakannya terperangkap di kawasan hutan paya bakau serta di bawah rumah penduduk termasuk perkampungan masyarakat Orang Asli suku Mahmeri.
Bayangkan kesengsaraan dilalui penduduk yang berdepan dengan situasi menjijikkan itu sejak lebih 20 tahun lalu berpunca daripada Sungai Klang yang tercemar teruk.
Mereka terpaksa hidup bersama bau busuk sepanjang tempoh tersebut hingga mengganggu aktiviti harian termasuk menjejaskan punca pendapatan menangkap udang serta ikan.
Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati plastik, bungkusan makanan, lampin bayi, botol dan tin minuman disyaki datang dari kawasan lain yang dipercayai dibuang individu atau pihak tidak bertanggungjawab ke dalam sungai terkumpul di situ.
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Mat, 49, berkata, dia sudah tinggal di kawasan itu bersama keluarga sejak 20 tahun lalu.
Dia percaya sampah-sampah itu dibuang oleh pelbagai pihak tidak bertanggung jawab ke dalam sungai lalu dibawa arus dari Kuala Lumpur hinggalah sampai ke situ.
“Kebanyakan orang senang senang saja buang sampah ke dalam longkang. Sampah-sampah ini kemudian masuk ke dalam sungai, hanyut ikut arus terus ke laut.
“Mana-mana sampah yang tersangkut, melekat di bawah rumah kami,” katanya dalam nada kesal ketika ditemui, baru-baru ini.
Malah, katanya yang mencari rezeki sebagai nelayan, pencemaran Sungai Klang juga dipercayai berpunca dari kilang-kilang di kawasan tersebut yang membuang bahan toksik ke dalam sungai.
“Pencemaran dari kilang pun satu masalah. Ada juga minyak dari bot tumpah ke dalam sungai hingga menyebabkan ikan mati.
“Kadang-kadang bot yang membawa sampah dari Pulau Ketam ke jeti sampah di sini, sampah dibawa jatuh ke dalam sungai dan mereka tidak kutip semula,” katanya.
Penduduk Orang Asli, Nor Hayati Johari, 32, pula memberitahu, sejak kecil dia sudah menetap di Tanjung Harapan dan mendapati masalah sampah yang dibawa arus itu berlarutan sejak dahulu lagi.
Katanya, dia bersama keluarga membersihkan sampah di bawah rumah setiap minggu.
“Sampah ini memang kita orang selalu bersihkan tetapi setiap kali berlaku air pasang di Sungai Klang, lagi banyak sampah muncul.
“Setiap kali bersihkan sungai ini, kami kutip botol atau tin yang hanyut untuk dijual ke pusat kitar semula,” katanya.
Dalam pada itu, Ali Zakaria, 52, berkata, dia berharap ada usaha tuntas daripada pihak berkuasa bagi menoktahkan masalah pencemaran Sungai Klang.
“Kami yang bekerja sebagai penangkap udang memang akui sampah-sampah ini agak mengganggu walaupun tidak teruk sangat.
“Nak harapkan kerajaan bersihkan sungai ini memang tidak mampu. Kita sebagai rakyat kena main peranan untuk memastikan sungai kita bersih,” ujarnya.
Pencemaran Sungai Klang bukanlah isu baharu.
Ia ‘dinobatkan’ sebagai sungai paling tercemar di negara ini walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk membersihkannya sejak beberapa tahun lalu.
Indeks Kualiti Air (WQI) terkini menunjukkan Sungai Klang yang dipantau setiap hari adalah satu-satunya sungai yang berada pada tahap merah, iaitu tercemar berpunca daripada pelbagai sumber bahan pencemar organik termasuk air sisa perindustrian, domestik dan komersial.
Terdapat sekurang-kurangnya 50 daripada 672 sungai di seluruh negara turut tercemar tetapi kebanyakannya tidak dipantau setiap hari dan tidak seteruk Sungai Klang.
Sungai sepanjang 120 kilometer ini mengalir turun bermula dari Klang Gates Quartz Ridge di Gombak sebelum berakhir di Selat Melaka.
Air sungai ini melintasi kawasan penduduk bermula dari Ampang Jaya, Brickfields, Bangsar, Lembah Pantai, Klang Lama, Puchong, Subang, Petaling Jaya, USJ, Shah Alam, Klang dan Pelabuhan Klang.
Kira-kira 89 juta tan sampah dilaporkan telah dikutip dalam tempoh lapan tahun iaitu sejak 2016 hingga tahun lalu, namun sungai ini terus berada dalam keadaan tercemar.
Malah, projek River of Life yang menyasarkan peningkatan kualiti air di sungai ini pada 2020 dari Kelas III kepada Kelas IIb berdasarkan standard Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga masih belum mencapai sasarannya.
Pegawai Penyelidik Alam Sekitar di Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4), Nabila Syuhada Zulkeflee berkata, pencemaran di Sungai Klang terbukti ketika beliau bersama pasukan penyelidikan membuat lawatan ke Tanjung Harapan, baru-baru ini.
Katanya, sampah mula dibawa dari Sungai Klang memasuki Tanjung Harapan sebelum ke laut, namun banyak yang terperangkap di kawasan pokok paya bakau serta di bawah rumah penduduk.
“Saya sendiri tanya penduduk, sudah berapa lama jadi macam ini? Dia kata sejak lahir lagi dan dia pun sudah berumur 20 tahun lebih. Dia pernah mengadu pada pihak berkuasa, dia kata dia sudah hubungi PBT (pihak berkuasa tempatan) tapi katanya bukan di bawah bidang kuasa mereka untuk kendali sampah-sampah ini.
“Bayangkan, banyak sampah dekat bawah rumah kita sendiri dan bukan pun sampah kita tapi sampah orang lain. Ini salah satu kesan teruk pencemaran sungai sebab kesannya kepada kehidupan orang lain,” katanya.
Menurutnya, punca sungai terus tercemar adalah disebabkan pengurusan sisa sampah yang lemah, sikap pengguna dan pihak industri, lambakan plastik import dan tapak pembuangan sampah haram berhampiran sungai.
“Kita banyak dengar berita sungai tercemar dan gangguan bekalan air. Ini punca daripada pengusaha yang buang sampah ke dalam sungai, mungkin sebab nak kurangkan kos. Sepatutnya bahan tercemar berbahaya perlu melalui JAS tapi dia macam nak senang, tak nak bayar lebih, campak terus ke dalam sungai,” katanya.
Ujarnya, kesan pencemaran sungai amat besar kerana ia mengganggu kehidupan seharian penduduk.
“Kita tahu sekarang banyak sangat gangguan bekalan air terutama di Selangor, sikit-sikit sebab tercemar dengan bahan buangan. Kita tahu punca dari mana tapi ia asyik berlaku, macam ada suatu masa itu setiap bulan ada sungai tercemar dan yang dipersalahkan dan dapat ditangkap adalah pengusaha kilang atau pihak industri,” katanya.
Nabila Syuhada memberitahu, pencemaran Sungai Klang juga memberi kesan kepada kehidupan marin terutama ikan yang terdedah dengan sampah sarap.
“Sekarang ini kita ada banyak kes mikroplastik dalam badan. Daripada ikan tersebut, dia makan sampah sarap dan akan masuk balik ke badan kita. Jadi, sebenarnya pencemaran sungai ini beri kesan kepada kesihatan manusia.
“Memang ada kajian oleh universiti dan ahli akademik yang jumpa mikroplastik dalam ikan,” katanya.
Jelasnya lagi, pencemaran hanya boleh dihentikan sekiranya penghasilan sisa sampah dikawal sepenuhnya, bukan sekadar membersihkan sungai semata-mata.
“Pembersihan sungai adalah satu inisiatif yang bagus tapi sebenarnya ia hanya jangka pendek sebab kalau kita terus menghasilkan sisa sampah seperti biasa, kemudian kita bersihkan sungai, apa gunanya?” ujarnya.
Katanya, walaupun ada pindaan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling untuk meningkatkan hukuman berat terhadap mereka yang menyebabkan pencemaran, ia perlu sejajar dengan penguatkuasaan.
“Kalau kita naikkan hukuman, buat pindaan apa semua tapi orang masih buat, sudah denda tapi tak dapat halang juga, macam mana?” soalnya.
Beliau juga menyarankan semua pihak yang bertanggungjawab terhadap sungai bekerjasama tanpa sebarang pertindihan kuasa, meningkatkan tatakelola dalam mengawal selia pencemaran dan pengurusan sisa sampah, meletakkan mikroplastik sebagai bahan pencemaran dan meningkatkan ketelusan dalam setiap projek pembangunan.
“Kita juga perlu tambah baik kutipan sampah, kena ada kerjasama antara kementerian dan fokus bajet supaya tidak ada satu kawasan pun terkecuali.
“Industri yang seharusnya menguruskan sisa sampah juga nampak tidak banyak buat pemantauan. Bila tidak ada pemantauan, tidak ada orang tahu itu masalahnya,” tegasnya. – UTUSAN










