KANGAR: Suasana awal pagi di sekitar Kuala Perlis khususnya di perkampungan nelayan di Seberang Ramai di sini, meriah dengan lebih 2,000 orang mengambil kesempatan untuk mandi-manda dan bermain air yang melimpahi kawasan itu berikutan fenomena air pasang besar yang mencapai tahap kemuncaknya semalam.
Suasana dari pukul 12.30 sehingga 2 pagi itu bagaikan pesta seolah-olah berada di ‘taman tema air’ terutama di Dataran Semarak Kampung Tengah, Seberang Ramai di sini yang dipenuhi bukan sahaja penduduk setempat, malah orang luar yang datang untuk menyaksikan fenomena air pasang itu.
Kanak-kanak juga dilihat cukup teruja mandi-manda menggunakan pelampung selain ada yang mengambil kesempatan berjalan meredah air melihat suasana meriah di kawasan perkampungan nelayan berkenaan.
Fenomena air pasang besar yang mencapai tahap tertingginya iaitu 3.7 meter mula melanda lima kampung di Kampung Seberang Ramai sekitar 11.30 malam sebelum air laut memenuhi keseluruhan kawasan perkampungan tersebut sejam selepas itu.
Situasi tersebut juga menyaksikan 1,577 kediaman di Kampung Seberang Ramai, Kampung Pulau Ketam, Kampung Hujung Tanjung, Kampung Tengah, Kampung Seberang Tok Pi dan beberapa lagi terjejas apabila air memenuhi segenap penjuru rumah.
Seorang penduduk, Sharimah Hashim, 60, berkata, kebanyakkan rumah penduduk dinaiki air berikutan air pasang namun ia akan surut semula selepas itu.
Katanya, dia melihat suasana di perkampungan nelayan ini cukup meriah dengan kehadiran orang ramai sehingga awal pagi untuk beriadah dengan keadaan kali ini disifatkan antara yang paling ramai mengamit kehadiran orang.
“Fenomena air pasang kali ini agak tinggi berbanding sebelum ini sehingga menyebabkan air naik dengan begitu cepat. Apa yang lebih menarik apabila orang ramai memenuhi kawasan ini yang diibarat seperti pesta.
“Saya masih setia kekal di rumah melihat air mula melimpahi pekarangan rumah. Kawasan ini berhampiran dengan laut dan kemasukan air begitu cepat dan deras dan sedar-sedar sahaja air sudah mula memenuhi halaman rumah kita,” katanya.
Seorang pengusaha kedai makan, Zarina Kassim, 52, pula berkata, dia bersama anaknya sudah bersiap sedia lebih awal mengemas dan memindahkan barang dapur di kedainya sebaik sahaja air mula pasang. – UTUSAN










