Sungai Pajam paling tercemar di Negeri Sembilan

Sungai Pajam paling tercemar di Negeri Sembilan

SUNGAI Pajam di Nilai, Seremban berada dalam kategori tercemar mengikut Indeks Kualiti Air (IKA) pada tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sungai Pajam di Nilai di sini menjadi satu-satunya sungai di Negeri Sembilan yang berada dalam kategori tercemar mengikut Indeks Kua­liti Air (IKA) yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) berdasarkan Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2023.

Berdasarkan laporan itu yang dikeluarkan pada bulan lalu, Sungai Pajam yang di bawah Lembangan Sungai Langat menerusi stesen manual, Kawasan Perindustrian Nilai yang dipantau JAS bernombor 3NLGT021 turut mencatatkan bacaan data nilai IKA sederhana tercemar sejak tahun 2019.

Pengarah JAS Negeri Sembilan, Hamzah Mohamad berkata, pelbagai aktiviti di sepanjang sungai tersebut sudah tentu menjadi punca yang membawa kepada pencemaran Sungai Pajam.

“Sungai Pajam ini menerima bahan pelepasan dari kawasan perindustrian seperti di kawasan sekitar Nilai tetapi berdasarkan data yang ada pada JAS tidak ada signifikan berlakunya ketidakpatuhan. Kualiti air sungai ini boleh terjejas juga daripada punca-punca lain yang bukan di bawah kawalan JAS.

“Mungkin daripada kedai makan dan restoran dan mungkin juga daripada aktiviti penternakan, aktiviti sebegini juga boleh menyumbang kepada bacaan data tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Hamzah berkata, pihaknya sentiasa memberikan tumpuan dalam isu kualiti air Sungai Pajam apatah lagi aliran sungai tersebut merentasi sempadan ke negeri Selangor.

“Sungai Pajam sentiasa menjadi satu daripada tumpuan pemantauan dan rondaan pihak JAS kerana kita ketahui apa yang berlaku akan memberi kesan kepada loji air di Selangor.

“Selain berada dalam jadual perancangan pemantauan yang telah kami kenal pasti untuk buat pemeriksaan, rondaan dari semasa ke semasa juga kami lakukan ke kawasan berpotensi pencemaran seperti di Sungai Pajam ini,” ujarnya.

Pada 2020 dilaporkan berlaku gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Selangor susulan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi disebabkan pencemaran bau akibat pembuangan sisa industri yang dikesan di

Sungai Batang Benar yang mengalir masuk ke Sungai Pajam.

Turut dikatakan menjadi punca adalah aktiviti pencucian secara besar-besaran yang dijalankan di kawasan reban itik dan angsa di tepi Sungai Pajam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×