NORTH CAROLINA: Salinan Perlembagaan Amerika Syarikat (AS) yang dicetak 237 tahun lalu dan dihantar kepada negeri-negeri untuk diratifikasi, dijual dengan harga AS$9 juta (RM38.7 juta) dalam satu lelongan di North Carolina, Khamis lalu.
Brunk Auctions menjual dokumen itu, satu-satunya salinan yang dianggap milik persendirian, dalam lelongan tertutup.
Namun, nama pembeli tidak segera diumumkan.
Proses bidaan mengambil masa lebih tujuh minit, dengan setiap kali tawaran meningkat sebanyak AS$500,000 (RM2.1 juta), kebanyakannya melalui telefon.
Terdapat jeda pada kadar AS$8.5 juta (RM36.5 juta), sebelum seorang individu membida AS$9 juta sebagai harga akhir.
Lelongan itu pada asalnya dijadualkan 28 September tetapi ditangguhkan selepas Taufan Helene menyebabkan kerosakan besar di seluruh Asheville dan barat North Carolina.
Salinan tersebut dicetak selepas Konvensyen Perlembagaan selesai merangka cadangan bagi kerajaan negara pada 1787 dan dihantar kepada Kongres kerajaan Amerika yang pertama di bawah Artikel Konfederasi, meminta agar ia dihantar kepada negeri-negeri untuk diratifikasi oleh rakyat.
Ia adalah antara kira-kira 100 salinan yang dicetak oleh Setiausaha Kongres tersebut, Charles Thomson.
Hanya lapan salinan yang diketahui masih wujud dan tujuh daripadanya adalah milik awam.
Salinan tersebut ditemukan di dalam sebuah kabinet fail logam dua laci rendah, dalam sebuah bilik yang sudah lama tidak digunakan.
Dokumen itu adalah satu helaian lebar yang boleh dilipat sekali seperti sebuah buku.- CNN










