PM selar pembangkang guna TikTok, Whatsapp sebagai rujukan hujahan - Utusan Malaysia

PM selar pembangkang guna TikTok, Whatsapp sebagai rujukan hujahan

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri menyelar pemimpin pembangkang yang berhujah dengan menggunakan sumber daripada media sosial seperti TikTok dan Whatsapp, tanpa merujuk fakta sebenar serta sahih.

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pemimpin pembangkang untuk tidak melontarkan pandangan secara semberono dan seharusnya meneliti fakta terlebih dahulu

“Seperti mana saya dengan ucapan Pasir Puteh sebelum ini (yang mengatakan) bahawa Menteri Kewangan tidak ikut tatakelola dalam pengagihan kontrak kepada D’saji dan kepada Bukit Gantang.

“Tidak benar sama sekali. Saya yang sign, saya tahu. (Apabila ditanya) dengar daripada mana, (dia kata) dengar daripada TikTok (dan) Whatsapp, ini belajar mana ini? Tidak merujuk fakta,” katanya semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan daripada Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) yang meminta beliau menyatakan apakah mekanisme pelaporan awam dan audit yang akan dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk memastikan ketelusan dan menghalang ketirisan dalam pengagihan subsidi bersasar RON 95 dan pelaksanaan cukai dividen.

Mengulas lanjut, Anwar turut menyifatkan tindakan pemimpin pembangkang yang kerap kali membuat tuduhan melulu kepada kerajaan.

“Apabila bercakap atas nama Islam, rujuk Quran (tetapi) apabila hentam, tidak peduli. Ini yang saya bangkitkan. Jadi, soal tata kelola kita tidak ada tolak ansur. Tatakelola dalam soal pengagihan ini untuk 85 peratus itu kita tetap pertahankan. Jadi jangan pusing, jangan putar, jangan buat tuduhan melulu di Dewan ini,” tegasnya.

Beliau turut menggesa pemimpin-pemimpin pembangkang memberi cadangan yang baik kepada kerajaan dalam usaha membantu rakyat terutama golongan miskin.

“Jadi saya harap, kalau ada cadangan, bagi cadangan lain tetapi jangan bagi cadangan bahawa kita tidak boleh cukai orang kaya.

“Ini saya rasa satu perkara yang sangat aneh dan bertentangan dengan prinsip yang kita hendak tegakkan pengagihan kekayaan secara adil,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN