Peruntukan kecil: Hala tuju 200,000 pekebun kecil samar

Peruntukan kecil: Hala tuju 200,000 pekebun kecil samar

PEKEBUN kecil menyifatkan peruntukan dalam Belanjawan 2025 belum mencukupi membantu mereka meningkatkan pengeluaran hasil. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Hala tuju 200,000 pekebun kecil getah dan sawit yang mengusahakan tanaman kurang 10 hektar masih samar khususnya dari segi pengeluaran hasil, tanam semula selain berdepan cabaran harga serta guna tenaga buruh.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) Pahang, Anuar Mustakim berkata, ini kerana peruntukan bernilai RM2.6 bilion bagi pembangunan Felda, Felcra dan Risda dalam Belanjawan 2025 masih kecil berbanding inisiatif sektor atau kementerian lain.

“Saya difahamkan agihan cuma RM20 juta untuk pembangunan pekebun kecil menerusi Belanjawan 2025 cukup mencabar dalam usaha pihak berwajib merancakkan pengeluaran hasil komoditi ini.

“Kerajaan perlu ambil perhatian tentang pemulihan kebun sawit dan getah terbiar, projek tanam semula, pengurusan kebun dan harga komoditi tersebut.

“Perhatian juga perlu diberikan tentang bahan api termasuk sektor tenaga buruh yang sudah tentu memerlukan pertambahan peruntukan supaya pekebun dapat mengurangkan beban perbelanjaan serta sedikit selesa,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Dalam Belanjawan 2025, Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menyediakan peruntukan kepada Felda, Felcra dan Risda berjumlah RM2.6 bilion meningkat da­ripada RM2.4 bilion pada 2024.

Selain itu, Anwar berkata, insentif galakan kepada pekebun kecil menanam semula sawit juga diteruskan dengan peruntukan RM100 juta.

Anuar berkata, kerajaan juga perlu melihat semula peranan beberapa agensi yang ditubuhkan sejak pasca merdeka yang menguruskan berkaitan pengeluaran dan pasaran getah, tetapi pendapatan serta kebajikan pekebun kecil sejak dahulu lagi masih ditakuk lama berasaskan harga komoditi ini tidak menentu.

“Saya berpandangan harga getah yang stabil sepatutnya sudah berlaku dua dekad lalu selaras dengan kenaikan kos sara hidup penduduk (pekebun) perlu difikirkan kerana ini merupakan jaminan ‘periuk nasi’ pekebun kecil seluruh negara,” katanya.

Ujarnya, kerajaan nenerusi pihak berwajib perlu menyelaras harga getah yang boleh dinikmati samarata pekebun dan penoreh, selain mewujud­kan lebih banyak pusat pe­ngumpulan dan pembeliant bagi mengelak orang tengah mengambil untung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN