SEREMBAN: Pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Negeri Sembilan dijangka menyaksikan perebutan sengit khususnya bagi jawatan ketua di dua bahagian iaitu Seremban dan Port Dickson.
Paling mencuri perhatian tentunya di Bahagian Port Dickson yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu bagi jawatan ketua iaitu di antara Timbalan Ketua Bersatu Cawangan Telok Kemang, Badrul Hisham Shaharin dan Ketua Bersatu Cawangan Linggi, Datuk Zamri Md Said.
Dikenali sebagai aktivis politik di peringkat nasional, Badrul Hisham yang lebih dikenali sebagai Chegubard dilihat mempunyai kelebihan di atas reputasinya dan dilihat bersedia untuk berada dalam barisan kepemimpinan Bersatu.
Bagaimanapun, beliau akan pastinya dicabar hebat oleh Zamri yang merupakan bekas calon Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.
Di Bahagian Seremban juga menarik apabila menyaksikan pertandingan empat penjuru bagi jawatan ketua iaitu melibatkan Ketua Bersatu Cawangan Nilai, Mohd. Herman Hassan yang dikatakan sebagai calon pilihan yang akan dicabar pula oleh Ketua Bersatu Cawangan Batang Benar, Wan Nasry Ahmad.
Dua lagi calon untuk jawatan itu dicabar oleh Ketua Cawangan Bersatu Ampangan, Aslam Nawabdin dan ahli Bersatu Cawangan Kampung Gebok, Ahmad Aidy Talib.
Satu lagi Bahagian yang menyaksikan pertandingan adalah Bahagian Bersatu di mana untuk jawatan ketua akan ditandingi oleh Mohd. Fhadil Ismail yang merupakan Ketua Bersatu Cawangan Rembang Panas yang dicabar pula oleh Ketua Bersatu Cawangan Tengkek, Mohd. Zuhaimi Md Yusof. – UTUSAN










