PETALING JAYA: Peningkatan suhu global yang menyumbang kepada cuaca ekstrem di seluruh dunia termasuk Malaysia, meningkatkan risiko berlakunya banjir besar yang semakin kerap.
Selain taburan dan jumlah hujan, faktor lain termasuk fenomena air pasang besar dan keadaan sungai di kawasan terjejas akan meningkatkan lagi risiko banjir besar.
Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), Ambun Dindang berkata, Malaysia tidak terkecuali daripada kesan tersebut dengan risiko banjir akibat monsun di kawasan Pantai Timur, Sarawak dan Sabah menjadi semakin ketara setiap tahun.
“Setakat ini, ramalan cuaca hanya boleh dilakukan sehingga tujuh hari ke hadapan, namun usaha giat dijalankan untuk memperoleh sistem ramalan cuaca yang lebih canggih dengan jangka masa ramalan yang lebih panjang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan negeri Pantai Timur, terutama Kelantan dijangka dilanda banjir besar atau bah kuning pada hujung tahun ini berpandukan kitaran alam yang menyaksikan setiap 10 tahun negeri itu berdepan situasi sedemikian.
Tambah beliau, untuk mengurangkan impak banjir, MET Malaysia telah memperkukuh sistem pemantauan dan ramalan cuaca dengan mengadaptasi teknologi terkini setanding dengan negara maju.
“MET Malaysia turut bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi menyediakan data ramalan hujan untuk digunakan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) dalam mengeluarkan ramalan banjir yang lebih tepat,” jelasnya.
Sementara itu, Pakar Meteorologi Universiti Malaya, Prof Datuk Dr. Azizan Abu Samah berkata, perubahan iklim global khususnya pemanasan di Artik berpotensi meningkatkan kekuatan lonjakan sejuk atau cold surge yang berisiko membawa banjir besar di Malaysia terutama di Pantai Timur.
Malah, terdapat tiga keadaan ENSO iaitu El Nino cuaca lebih kering daripada biasa di rantau negara, ENSO neutral (keadaan biasa dengan risiko banjir semasa Monsun Timur Laut) dan La Nina (lebih banyak hujan daripada kebiasaan).
Katanya, ketika fenomena La Nina berlaku, risiko banjir bukan sahaja terhad di Pantai Timur tetapi boleh merebak hingga ke Pantai Barat yang meningkatkan kemungkinan kejadian banjir di kedua-dua kawasan tersebut.
“Pemanasan global terutama di Artik dijangka menguatkan kesan lonjakan sejuk dari Siberia ke Asia Tenggara.
“Pemanasan di Artik memungkinkan angin sejuk menyerbu ke kawasan tekanan tinggi di Siberia semasa musim sejuk, lalu menghasilkan cold surge yang melanda dari China ke rantau nusantara,” jelasnya.
Selain itu, Azizan berkata, fenomena ini sedang dikaji dengan lebih mendalam kerana terdapat bukti perubahan dalam kekuatan angin Monsun Timur Laut sejak 1990-an di selatan Laut China Selatan.
Kata beliau, akibat peningkatan kekuatan angin ini, hakisan pantai yang serius telah berlaku di Pantai Timur Semenanjung Malaysia serta di Sarawak dan Sabah sejak beberapa dekad yang lalu.
“Terdapat pola perubahan iklim yang berpotensi memperburuk keadaan banjir di Pantai Timur. Misalnya, fenomena La Nina yang menyebabkan peningkatan taburan hujan boleh membawa lebih banyak curahan hujan dalam jangka masa singkat yang meningkatkan risiko banjir.
“Pemanasan global juga boleh memperhebat kekuatan fenomena Monsun Timur Laut (MTL) dan lonjakan sejuk atau cold surge yang membawa angin kuat serta hujan lebat dari Siberia hingga ke rantau kita,” katanya.
Tambah beliau, perubahan dalam pola iklim ini dapat menjadikan banjir lebih kerap dan lebih serius berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Perubahan suhu laut khususnya peningkatan suhu di Lautan Pasifik akibat fenomena La Nina boleh meningkatkan kelembapan udara yang menyebabkan lebih banyak curahan hujan di kawasan Pantai Timur.
“Jika fenomena La Nina berlaku pada akhir tahun ini, terdapat risiko banjir besar. Namun, jika La Nina tidak berlaku, risiko berlaku banjir besar di Kedah akan sedikit berkurang,” katanya. – UTUSAN











