Pekerja warga Pakistan tertinggi memandu kenderaan perdagangan tanpa lesen - Utusan Malaysia

Pekerja warga Pakistan tertinggi memandu kenderaan perdagangan tanpa lesen

J. ARUL Kumar (dua dari kanan) diiringi Hanif Yusabra (kiri) mengagihkan topi kaledar kepada orang ramai dalam Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Deepavali Tahun 2024 Peringkat Negeri Sembilan di Perhentian Bas dan Teksi Nilai di Seremban hari ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pekerja dari Pakistan mencatatkan bilangan tertinggi pemandu kenderaan perdagangan warga asing yang dikesan memandu kenderaan tanpa lesen dan cukai yang sah.

Ia menerusi Operasi Kenderaan Perdagangan yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan dari tempoh bulan Januari hingga September lalu.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, dalam tempoh itu,  seramai 287 orang Pemandu Warga Asing (Pewa) Pakistan melakukan kesalahan tersebut diiikuti Indonesia seramai 152 orang dan Bangladesh seramai 151 orang.

Beliau berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 88,448 jumlah kesalahan telah direkodkan dengan kategori pelesenan kenderaan mencatatkan kategori tertinggi iaitu sebanyak 25,348 kesalahan.

“Selain itu, sebanyak 24,724 kesalahan membabitkan kategori teknikal dan 20,918 kesalahan membabitkan pelesenan pemandu,” katanya pada sidang akhbar Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Deepavali Tahun 2024 Peringkat Negeri Sembilan di Perhentian Bas dan Teksi Nilai di sini, hari ini.

Kempen tersebut telah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. arul Kumar.

Mengulas lanjut, Hanif berkata, dalam operasi itu juga, sebanyak 166,482 kenderaan perdagangan telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut 23 peratus daripadanya telah diambil tindakan membabitkan 37,804 buah kenderaan perdagangan.

“Tindakan diambil termasuklah pengeluaran notis dan denda atau arahan periksa untuk memperbaiki kesalahan dikesan. Secara keseluruhannya, sebanyak 88,448 notis telah dikeluarkan dalam operasi berkenaan,” katanya.

Sementara itu, dalam program tersebut, Hanif memberitahu, sebanyak 200 topi kaledar baharu telah diagihkan melalui pertukaran topi kaledar menerusi program Madani Rakyat.

Katanya, melalui program tersebut pihaknya telah menerima sebanyak 4,000 topi kaledar dewasa dan 800 bersaiz kanak-kanak untuk diagihkan kepada keluarga berpendatapan 40 peratus terendah (B40) di negeri ini.

“Daripada jumlah, lebih 3,000 topi kaledar telah diagihkan setakat bulan Oktober ini. Pengedaran melalui program-program advokasi dalam usaha untuk mengurangkan risiko kemalangan dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN