GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar yang tinggal di kawasan pedalaman daerah ini, merayu bantuan bakul makanan dapat dihantar lebih awal sebelum Monsun Timur Laut (MTL) dijangka berlaku bulan depan.
Bantuan yang diperlukan tidak hanya terhad kepada bakul makanan asas, tetapi juga kelengkapan khemah untuk berteduh sekiranya rumah mereka ditenggelami air atau berlaku banjir lumpur.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Tendrik, Pos Bihai, Apek Asud, 40, berkata, agensi terbabit akan menghantar bantuan makanan kepada penduduk Orang Asli semasa musim tengkujuh setiap tahun.
Katanya, bantuan itu dihantar selepas bencana berlaku dan sesetengah penduduk sudah kehabisan bekalan makanan sehingga ada yang kelaparan.
“Setiap tahun, penduduk Orang Asli di pedalaman akan menerima bantuan MTL selepas berlaku bencana yang selalunya dihantar Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dengan bantuan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Jadi, kami berharap bantuan dapat diberikan lebih awal pada tahun ini sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh. Kami berharap kerajaan, sama ada kerajaan negeri atau Pusat dapat mempertimbangkan permohonan kami,” katanya ketika ditemui di Kampung Tendrik, Pos Bihai.
Bagi Amat Apek, 50, berkata, penduduk mengharapkan bantuan awal musim tengkujuh kerana sering berhadapan masalah jalan rosak pada musim hujan dan mereka sukar ke bandar untuk membeli makanan, sementara agensi kerajaan atau NGO juga sukar masuk ke kampung mereka untuk menghantar bantuan.
“Kami berhadapan masalah jalan rosak dan sesetengah tempat mengalami tanah runtuh apabila tiba musim tengkujuh. Keadaan itu menyukarkan kami untuk keluar membeli makanan dan bantuan juga tidak dapat masuk dan sampai kepada penduduk,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, pihaknya berharap agensi kerajaan termasuk negeri dan Pusat dapat mempertimbangkan permohonan penduduk Orang Asli terbabit.
“Saya mendapat makluman pihak yang terlibat seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah menyiapkan bantuan untuk MTL ini,” katanya. – UTUSAN










