PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) mampu menang lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sekiranya perkara-perkara remeh boleh diketepikan antara parti dalam gabungan tersebut.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kejayaan tersebut boleh dikecapi tidak lama lagi sekiranya BN dapat mengukuhkan semangat dan mengetepikan permasalahan yang wujud antara parti komponen.
“Kalau BN bekerja keras, strategi pilihan raya disusun dengan baik dan jika kita mengetepikan permasalahan kita sesama sendiri, walaupun di negeri pembangkang, BN masih boleh menang dengan cemerlang kalau ini dapat kita pertahankan.
“Kalau kita mengetepikan perkara titik bengik, petty issues, kembali kepada landasan BN yang sebenar dengan memperkukuh semangat BN dan pada masa sama pemimpin utama parti komponen mengetepikan perbezaan pandangan, saya hampir pasti bahawa BN akan mendapat kerusi yang lebih di dalam PRU akan datang,” katanya dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-71 di sini, semalam.
Turut hadir Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong; Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Mah Hang Soon dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, BN perlu bijak menyembunyikan masalah yang timbul dan berusaha menyelesaikannya secara dalaman.
“Kita harus menyantuni perbezaan pendapat kita di dalam ‘bilik tidur’ kita, jangan pernah bawa masalah bilik tidur di depan halaman rumah kita ataupun kita membawa di luar pagar rumah kita.
“Apabila kenderaan lalu lalang dan orang ramai melihat kita membawa permasalahan itu, maka permasalahan itu akan jadi lebih besar. Oleh itu, menyantuni perbezaan pendapat (sesama) kita ini amat penting,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengumumkan Ka Siong sebagai Penasihat Pelaburan Masyarakat Cina di bawah Timbalan Perdana Menteri. – UTUSAN










