Malaysia rakan kongsi BRICS

Malaysia rakan kongsi BRICS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia merupakan antara 13 negara baharu yang diterima sebagai rakan kongsi BRICS (Brazil, Russia, India, China, Afrika Selatan) berdasarkan ciapan terbaharu @BRICSInfo di laman sosial X gabungan tersebut, semalam.

Negara-negara tersebut adalah Malaysia, Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indo­ne­sia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Tur­kiye, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.

“BRICS secara rasmi menambah 13 negara baharu dalam gabungan sebagai rakan kongsi (bukan ahli penuh),” kata ciapan tersebut.

Pada 28 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia telah menghantar permohonan kepada Russia untuk menyertai orga­nisasi antara kerajaan BRICS susulan kunjungan hormat oleh Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov ke negara ini.

Pada 18 Jun lalu, Anwar mengesahkan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS kepada Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.

BRICS adalah sebuah organisasi antara kerajaan terdiri daripada Brazil, Russia, India, China, Afrika Selatan, Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu.

BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun. BRICS menyumbang satu perempat ekonomi global, me­rangkumi satu perlima perdagangan global dengan sekitar 40 peratus penduduk dunia.

Sementara itu, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, Malaysia harus memberi tumpuan kepada perkembangan ekonomi secara menyeluruh dan tidak terselit sebarang agenda politik melalui pakatan bersama BRICS

Menurutnya, ini kerana da­lam konteks kepimpinan, negara besar seperti Russia berkemungkinan membawa agenda bukan ekonomi ke dalam BRICS.

“Malaysia tidak akan mampu ‘tersepit’ apabila ‘gajah-gajah’ dunia bertelagah.

“Agenda kita sewajarnya berkait dengan isu ekonomi seperti perdagangan tanpa sekatan, menurunkan tarif atau cukai berbentuk diskriminasi dan menggalakkan pelaburan dua hala untuk pasaran serantau dan global,” katanya ketika dihubu­ngi Utusan Malaysia, semalam.

Selain itu, ujar beliau, dalam hubungan sebagai rakan kongsi BRICS, Malaysia perlu mengimbangi kepentingan negara di dalam pertubuhan lain sedia ada seperti ASEAN, Asia Timur, Asia Barat dan Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

“Ini juga termasuk perjanjian-perjanjian dua hala yang Malaysia meterai sebelum ini. Kita perlu elak dan mengesan jika terdapat ciri-ciri politik pihak tertentu diutamakan dan menjadi perhatian serta tum­puan BRICS,” katanya.

Bekas Menteri Luar, Tan Sri Anifah Aman berkata, Malaysia yang diterima sebagai rakan kongsi BRICS tidak akan berdepan implikasi buruk sehingga merenggangkan hubungannya dengan Amerika Syarikat (AS).

Ujarnya, kebimbangan itu tidak sepatutnya timbul kerana Malaysia mempunyai dasar luar yang jelas bekerjasama dengan sesiapa sahaja demi mengembangkan ekonomi negara.

“Walaupun status Malaysia di dalam BRICS hanya sebagai rakan kongsi (bukan ahli penuh), namun keputusan Malaysia membuat permohonan penyertaan sebelum ini adalah keputusan bijak,” katanya.

Ketika Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-57 di Vientiane, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia perlu menunggu kira-kira setahun lagi sebelum permohonannya sebagai ahli penuh diterima. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN