PETALING JAYA: Kumpulan isi rumah pertengahan atau M40 berharap peruntukan yang disediakan dalam Belanjawan 2025 dapat memberi keadilan saksama kepada mereka dalam menikmati inisiatif kerajaan.
Pesara guru, Mohd. Aidil Azman, 61, berkata, setiap kali pembentangan belanjawan negara, program bantuan dan inisiatif banyak dimanfaatkan untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Menurutnya, walaupun inisiatif tersebut dikhususkan kepada kumpulan B40 dan M40, tapi permohonan yang dikemukakan terhadap bantuan dipohonnya sering ditolak, berkemungkinan melihat faktor pendapatan.
“Berkemungkinan pihak penyelarasan terlepas pandang dengan faktor lain, mengapa kami (golongan M40) turut serta memohon inisiatif kerajaan.
“Misalnya, dalam situasi saya, saya masih menyara tiga orang anak yang ketika ini menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi awam( IPTA), yang mana kos perbelanjaan persekolahan mereka agak tinggi kerana dua daripadanya berada di universiti di Sabah.
“Disebabkan oleh pendapatan pencen saya, anak-anak sering mengadu mereka sukar mendapat bantuan pendidikan, mahupun daripada yayasan negeri.
“Isteri saya merupakan suri rumah, kini kami terpaksa berjimat cermat disebabkan sering berulang alik untuk temu janji doktor di hospital,’’ katanya kepada Utusan Malaysia.
Dia berharap sekurang-kurangnya pada tahun hadapan, bersama isterinya dapat menikmati bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Pandangan sama disuarakan Nordin Noor, 63, yang berharap pemberian sesuatu inisiatif terhadap individu atau isi rumah bukan sahaja dinilai daripada pendapatan kategori B40, M40 atau T20.
“Walaupun secara amnya M40 diklasifikasikan sebagai golongan berpendapatan lebih baik daripada B40, namun pendapatan mereka bukan menghampiri T20.
“Masih terdapat banyak lagi golongan M40, misalnya kami para pesara guru sekolah yang terbeban dengan perbelanjaan keluarga atau isi rumah terutama kakitangan yang sudah bersara,” jelasnya.
Dia menambah, golongan M40 yang mungkin sudah bersara dan tidak mempunyai kerja sampingan, lebih-lebih lagi disebabkan faktor usia atau kesihatan, membuatkan mereka bergantung dengan pendapatan sedia ada.
“Kadar cukai perkhidmatan yang dikurangkan sehingga dua peratus sebelum ini masih lagi belum dapat meringankan beban kami.
“Justeru, kami sebagai golongan M40 tidak mahu disamakan seperti T20, seolah-olah dipaksa kerana melihat pendapatan kami yang seperti berkemampuan untuk membayar cukai.
“Di samping itu, kerajaan perlu mengambil berat masalah kos barangan yang kian naik kerana bukan sahaja membebankan B40, malah M40 turut terkena tempias,” katanya.
Sementara itu, penganalisis ekonomi berharap kerajaan menaikkan kadar bantuan tunai kepada rakyat menerusi Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan Jumaat ini dalam usaha memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial masyarakat memerlukan.
Bantuan tunai itu meliputi STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) khususnya untuk golongan rakyat paling terkesan dengan kos sara hidup.
Melalui Belanjawan 2024, peruntukan STR ditingkatkan sebanyak RM2 bilion atau 25 peratus daripada RM8 bilion pada 2023 kepada RM10 bilion yang memanfaatkan penerima meliputi hampir 60 peratus penduduk dewasa di negara ini.
Program SARA pada tahun ini juga memanfaatkan lebih 700,000 penerima dengan peruntukan RM700 juta berbanding 2023, iaitu hanya 210,000 penerima dengan perbelanjaan RM130 juta.
Di bawah program ini, penerima yang layak dalam status kategori miskin dan miskin tegar menerusi pangkalan data e-Kasih boleh membeli barang keperluan asas terpilih dengan bantuan disalurkan secara bulanan iaitu RM100 untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan dan RM50 untuk golongan bujang.
Penganalisis ekonomi dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali berkata, peningkatan kadar bantuan ini amat membantu mereka terutama golongan yang benar-benar memerlukan dalam menangani kos sara hidup tinggi ketika ini.
“Kerajaan boleh menaikkan kadar STR kerana kalau diikutkan sistem ekonomi Islam, ia diistilahkan had kifayah iaitu had kecukupan bagi seseorang individu untuk menyara hidup. Sekiranya mereka termasuk di bawah had kecukupan ini, mereka boleh menerima zakat.
“Begitu juga dalam konteks rakyat seluruhnya kena ada had kecukupan masing-masing. Maka bantuan STR dan SARA mampu mencukupkan mereka untuk keperluan sara hidup masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Dr. Noraina Mazuin Sapuan pula berkata, belanjawan kali ini diharap dapat meningkatkan daya saing ekonomi negara di peringkat global melalui pelaburan strategik dalam sektor teknologi hijau, automasi dan kecerdasan buatan (AI).
Kata beliau, pendekatan ini dijangka mampu menjana pertumbuhan mampan dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi.
“Cabaran besar yang perlu dihadapi dalam Belanjawan 2025 adalah memastikan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan pengurusan hutang negara,” ujarnya. – UTUSAN










