Lima maut nahas kereta, lori di Gua Musang

Lima maut nahas kereta, lori di Gua Musang

ANGGOTA polis membawa mayat mangsa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang, Kelantan untuk bedah siasat. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lima termasuk empat sekeluarga maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori di Jalan Gua Musang-Lojing di Tanah Tinggi Lojing di sini semalam.

Mangsa yang maut ialah pemandu dan penumpang kereta jenis Perodua Myvi, Mohd. Junaizi Jusoh, 48, Shazwani Ismail, 39, Farhana Ismail, 35, dan Muhammad Fakrul Danish Mohd. Junaizi, 20.

Pemandu lori jenis Nissan, G. Mageswara, 53, turut maut dalam nahas tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Nor Azizi Che Noh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.57 pagi sebelum seramai 18 anggota bersama jentera bergegas ke lokasi kejadian.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, lima mangsa iaitu masing-masing dua lelaki dan wanita di dalam kereta jenis Perodua Myvi termasuk pemandu lori tersepit di dalam kenderaan mereka.

“Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Kerja-kerja mengeluarkan mangsa tersepit bermula pukul 1.25 tengah hari,” katanya ketika dihubungi.

Nor Azizi memberitahu, anggota bomba terpaksa memohon bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands, Pahang selepas 10 minit menjalankan operasi.

Katanya, lima mangsa yang tersepit dapat dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat menggunakan peralatan khas.

“Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan. Mangsa terlibat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada pukul 3.55 petang.

“Operasi itu melibatkan seramai 18 anggota dan tujuh jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang dan Cameron Highlands,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN